Falsafah karya agung terutamanya karya agung dunia Melayu turut
diilhamkan oleh pengarangnya melalui agama Islam yang menjadi pegangan agama
majoriti bangsa Melayu.
Hal ini dibuktikan melalui sebuah buku daripada Yayasan Karyawan
(2000: 13) yang menyatakan tiga faktor utama terhasilnya karya agung Melayu
iaitu;
a) kekuatan bahasa Melayu
b) pengaruh Islam
c) peranan istana dan
sekolah pondok
Hal ini membuktikan bahawa falsafah yang terdapat dalam karya agung
terdapat juga yang bersumberkan Islam, iaitu memperlihatkan keislaman dalam
penghasilan karya.
Setelah pengaruh agama Hindu menjadi pudar dalam diri masyarakat
Melayu, munculnya Islam di dalam dunia Melayu. Sekitar abad ke-12 dan ke-13, beberapa buah
kerajaan Melayu-Islam telah ditubuhkan di Perlak (Pasai). Perkara ini menyebabkan berakhirnya pengaruh
kerajaan Melayu-Srivijaya yang pada masa tersebut masih dalam kekuatan pengaruh
Hindu.
Agama Islam seterusnya disebarkan secara meluas, bukan sahaja dalam
kalangan alim ulama’ tetapi juga turut disebarkan kepada rakyat. Pada
ketika ini dikatakan masyarakat Melayu masih menggunakan bahasa lisan
sehinggalah tiba suatu ketika apabila masyarakat Melayu sudah mula mempelajari
abjad Arab untuk menulis bahasa Melayu.
Setelah bermulanya perkembangan tulisan ini, bermulanya suatu zaman
baru dalam dunia Melayu, iaitu zaman perkembangan ilmu dan pemikiran yang
didasarkan kepada ajaran agama, iaitu tauhid dan pandangan Islam sejagat. Hal ini juga dapat dikaitkan dengan istana
kerajaan Melayu-Islam pada zaman tersebut yang menjadi pendukung kepada
kegiatan penulisan yang membentuk warisan bangsa.
Kitab al-Quran merupakan sumber utama kepada falsafah Islam kerana
al-Quran adalah kitab petunjuk dan rahmat buat sekalian alam. Mohd Rashid Md Idris ada menyatakan bahawa
al-Quran itu adalah kitab yang Haq dari yang maha Haq, tiada keraguan, tiada
kebengkokan, tiada kesilapan dan kesalahan, tiada percanggahan dan
pertentangan, kitab yang terpelihara, kitab yang diberkati, kitab yang menjadi
cahaya dan penghidup jiwa, kitab yang menjadi penjelas dan penerang, kitab yang
menjadi penawar dan pengubat jiwa, dan kitab yang menjadi pemutus kata (2007:
53).
Contoh :
“Adapun ilmu dan
kepandaian itu menjadi tangga kepada pangkat kekayaan, dan kekayaan itu membawa
kepada kebesaran. Maka bahawasanya segala benda yang dijadikan Allah dalam
dunia itu masing-masing adalah dengan harganya, iaitu dapat dinilaikan oleh
manusia melainkan ilmu itulah sahaja yang tiada ternilai oleh manusia akan
harganya.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 19)
Petikan di atas menunjukkan ciri falsafah Islam apabila segala yang
dinyatakan berbalik kembali kepada kepercayaan dan kepatuhan terhadap kata-kata
Allah. Selain itu, menuntut ilmu juga adalah perkara yang sangat dituntut dalam
Islam.
“Dalam
berkata-kata dengan Kebiri itu, dengan takdir Allah Taala, maka angin pun
bertiup terlalu keras. Maka tirai pedati Ken Sumirat pun
tersingkap.”
(Hikayat Hang Tuah, 1995 : 50)
Petikan di atas
dikaitkan dengan falsafah islam apabila pengarang mengaitkan segala yang
berlaku di muka bumi ini adalah takdir atau ketentuan Allah Taala.
“diperbuatkan hikayat [….]
perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya, supaya didengar oleh
anak cucu kita yang kemudian dari kita dan diketahuinyalah segala perkataan,
syahadan beroleh faedahlah mereka itu daripadanya”
(Sulalat al-Salatin, edisi
Karya Agung, 1993: 3)
Pengarang menunjukkan ketaatan dengan menjunjung perintah sultan
yang membawa kepada keberlanjutan warisan sejarah bangsa kepada generasi
terkemudian.
Hal ini dibuktikan melalui tulisan pengarang dalam kitab ini juga,
iaitu;
“Maka fakir karanglah hikayat ini [….] dan fakir himpunkan daripada
segala riwayat orang tuha-tuha dahulu kala supaya akan menyukakan duli hadhrat
baginda”
(Sulalat al-Salatin, edisi Karya Agung,
1993: 4)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan