Selasa, 1 April 2014

MAKNA LUARAN KARYA MELAYU KLASIK


Makna luaran bermaksud makna selapis yang dapat dilihat pada permukaan teks. Melalui makna luaran, pembaca dapat memahami dengan jelas tentang perkara yang ingin disampaikan oleh pengarang.

Aspek-aspek yang tergolong dalam makna luaran

1.   Gaya bahasa
·        Kiasan
·        Sindiran
·        Peribahasa

2.   Struktur ayat
·        Ayat songsang
·        Ayat panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit

3.   Bahasa
·        Bahasa Sanskrit
·        Bahasa Arab
·        Bahasa Jawa
·        Bahasa Parsi

Gaya Bahasa

Definisi:

Cara atau ragam bahasa yang digunakan oleh seseorang dalam lisan atau penulisan ataupun cara pemakaian bahasa dalam sesebuah karya iaitu dari segi susunan kata, frasa, ayat, wacana, perenggan atau bab yang digunakan oleh pengarang atau penulis dalam usahanya untuk melengkapkan tema dan persoalan dan sebagainya dalam sesebuah karya yang dihasilkan.
Gaya bahasa dalam kesusasteraan pula merupakan gaya bahasa yang memiliki kesenian dan  mengandungi nilai estetik yang merupakan nilai yang mampu membangkitkan perasaan serta mengharukan pembaca sesebuah karya sastera.

Selain itu, gaya bahasa sastera ini berperanan untuk menyampaikan maklumat serta merangsang daya pemikiran pembaca. Antara gaya bahasa yang digunakan dalam karya Melayu klasik ialah kiasan, sindiran, hiperbola, dan peribahasa.

         Bahasa Kiasan

Bahasa kiasan ialah jenis bahasa yang menghuraikan sesuatu dengan cara mengkiaskan kepada perkara lain, sama ada dengan menyebutkan bandingan secara langsung atau mengandaikan perbandingan itu. Bahasa kiasan ini berfungsi menyindir seseorang secara halus dan bersopan.

Contoh :

Ular cintamani yang ditangkap oleh Hang Tuah di Pulau Biram Dewa telah digambarkan sebagai:… rupanya dan besarnya seperti pisang emas dan warnanya seperti emas sepuluh mutu.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 43)

Bahasa Sindiran

Gaya bahasa sindiran ialah salah satu bentuk yang termasuk dalam bahasa kiasan. Terdiri daripada 3 jenis iaitu sindiran halus, sindiran tajam dan sindiran kasar. Merupakan bahasa yang digunakan adalah bertentangan maksudnya dengan perkara yang diujarkan. Selain disebut sebagai sindiran halus, bahasa ini juga dinamakan sebagai ironi dan bukan digunakan untuk mengguris hati atau memalukan orang lain.

Contoh:

Maka sahut Tun Tuah, “Pada bicara manira, janganlah seperti pelenter itu tiadakan manira tikam jikalau penggawa Majapahit itu sekalipun manira tikam juga.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 153)

Bahasa Peribahasa

Peribahasa merupakan salah satu jenis percakapan yang mengandungi kepandaian akal fikiran yang telah disusun serta indah dan sedap didengar. Salah satu bentuk bahasa kiasan yang digunakan dalam kehidupan bermasyarakat. Peribahasa ini mengandungi makna tersirat atau lebih dikenali sebagai makna dua lapis iaitu perkara yang diujarkan adalah tidak sama dengan maksud yang ingin disampaikan.
Contoh:

Maka sahut Jebat, “Inilah pekerjaan yang sempurna. Sepala-pala jahat jangan kepalang, seperti pantun Melayu: ‘Rosak bawang ditimpa jambaknya,.” Maka Laksamana berkata pula, “Hai Si Jebat, segeralah bukakan aku pintu ini.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 356)


STRUKTUR AYAT

Struktur ayat dalam karya Melayu klasik terbahagi kepada dua iaitu ayat songsang dan ayat panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit. Ayat songsang ialah ayat yang tidak mengikut susunan biasa, iaitu subjek didahulukan dan diikuti oleh predikat. Dalam susunan songsang, unsur-unsur dalam konstituen predikat yang biasanya mengikuti subjek dipindahkan ke depan subjek (Ahmad Khair Mohd Nor et.al, (2012).

Contoh ayat :

Hatta, berapa lamanya belayar itu, maka nakhoda itu pun hampirlah akan sampai ke Palembang.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 13)

Ayat panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit merupakan salah satu ciri bahasa Melayu klasik.  Penggunaan ayat yang meleret-leret juga dapat dilihat dalam karya klasik.

Contoh ayat panjang:

Apabila tuan puteri dan segala isi istana itu mendengar bunyi-bunyian dan melihat segala perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakaiannya terlalu indah-indah - rata terbang itu pun dengan perhiasan keemasan – datang mendapatkan Sang Perta Dewa itu bertatahkan ratna mutu manikam, maka Tuan Puteri Pelinggam pun tahulah akan Sang Perta Dewa itu anak raja besar turun dari keinderaan.
            (Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 6)

  
Contoh ayat berulang-ulang

Hatta, berapa lamanya, tuan puteri pun hamillah.  Maka Sang Sapurba terlalu sukacita melihat isterinya hamil itu....... Hatta, beberapa lama antaranya, maka tuan puteri pun hamillah.  Setelah genap bulannya, maka tuan puteri berputera pula seorang laki-laki elok rupanya......  Hatta, berapa lamanya, maka tuan puteri pun hamillah pula.  Setelah genap bulannya,......Hatta beberapa bulan lamanya, maka tuan puteri pun hamillah pula.  Setelah genap bulannya, maka tuan puteri pun berputeralah seorang laki-laki terlalu elok rupanya........
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah:11)

Bahasa

Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu telah mempelajari pelbagai bidang bahasa dan kemahiran tersebut telah diaplikasikan dalam penulisan karya. Penggunaan bahasa yang pelbagai ini adalah pengaruh daripada masyarakat Arab, Jawa dan Parsi yang datang ke alam Melayu dengan tujuan perdagangan dan menuntut ilmu. Selain daripada itu, terdapat juga penggunaan bahasa istana terutamanya dalam aspek gelaran. 

Contoh bahasa Arab:

Bismillahirrahmanirrahim. Wa bihi nasta ‘inu billahi ‘ala ini hikayat.
(Dipetik daripada Hikayat Nakhoda Muda: 1)

Contoh bahasa Sanskrit:

… maka baginda pun memandang kepada Laksamana seraya bertitah, “Hai Laksamana, apa bicara Laksamana kita hendak suruh ke Benua Rom itu?”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 491)

Adapun bicara manira, mana segala penggawa dan penjurit yang bercakap hendak menikam Ratu Melaka itu, pada ketika inilah baik dititahkan pergi ke Tuban juga; masakan ia sampai ke Majapahit ini.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 299)




RUJUKAN

1.                1. Ahmad Khair Mohd Nor et.al, (2012). Tatabahasa Asas. Kuala Lumpur: Persatuan                        Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia
  1. Harun Jaafar, (2002). Wacana Kesusasteraan Melayu Klasik. Perak: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
  2. Kassim Ahmad, (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  3. Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, (2005). Stilistik Komsas. Perak: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
  4. V.I.Braginsky, (1994). Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  5. Wahyunah Abd. Gani, (2004). Hikayat Nakhoda Muda. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  6. http://karyaagungmelayu 2013.blogspot.com/2013/04/estetik-dalam karya-agung.html.
     karya-agung.html







Tiada ulasan:

Catat Ulasan