Khamis, 24 April 2014

KOLEKSI-KOLEKSI ARTIKEL BERHUBUNG KARYA AGUNG

KOLEKSI -KOLEKSI ARTIKEL

Sulalatus Salatin merupakan sebuah karya sejarah yang menceritakan mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Melayu Melaka. Salalatus Salatin juga dikenali dengan nama sejarah Melayu atau Hikayat Melayu. Karya ini disusun oleh Tun Muhammad atau nama timbangnya Tun Seri Lanang. Karya ini ditulis adalah untuk memperlihatkan kebesaran, keagungan, kedudukan dan sejarah silam Raja-Raja Melayu. Hal ini bersesuaian dengan maksud Salalatus Salatin itu sendiri iaitu “Salasiah Sultan-Sultan” atau “Segala Raja-Raja”. Selain itu, Sulalatus Salatin juga memaparkan kehebatan dan kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu, contohnya kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu ini dikatakan tiada tandingannya dengan kerajaan lain. Di samping itu, karya ini juga menunjukkan kebesaran dan kebijaksaan bangsa Melayu itu sendiri. Hal ini dapat dilihat pada pembesar-pembesar dan pahlawan Melayu pada masa itu. contohnya Tun Perak dan Hang Tuah dikatakan mempunyai tahap pemikiran yang tinggi serta kepimpinan yang unggul.                                         

Beberapa koleksi artikel-artikel yang berhubung dengan karya-karya telah dikenalpasti daripada majalah, surat khabar dan sebagainya.

i)   Artikel “Ungkapan Sulalatus atas Kanvas Pak Mail”.
Oleh: Roshlawati Raieh
Sumber: Sinar Harian, 24 Jun 2012

Dalam artikel ini, pengarang menceritakan peristiwa yang menarik yang terkandung dalam Sulalatus Salatin. Antara peristiwa yang dibincangkan oleh penulis ialah kisah perjanjian di antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Menurut penulis, perjanjian tersebut berlaku apabila Seri Teri Buana, iaitu Raja negeri Palembang, berduka lara kerana segan untuk menyuarakan hasratnya untuk mengambil anak Demang Lebar Daun, Raden Ratna CenderaPuri sebagai isterinya. Sebelumnya, baginda telah beberapa kali beristeri tetapi wanita yang dikahwininya itu telah diserang penyakit kulit sebaik sahaja beradu semalaman. Demang Lebar Daun yang merendahkan martabat dirinya sebagai rakyat biasa walaupun beliau bekas raja negeri Palembang, berasa susah hati apabila melihat baginda murung. Apabila ditanya kepada Seri Teri Buana sebab musababnya, maka baginda pun menyuarakan perasaan yang telah lama terbuku sekian lama. Demang Lebar Daun pun berseruju untuk bermenantukan baginda tetapi dengan syarat: Jika anak Demang Lebar Daun terkena penyakit kulit juga, sama seperti isteri-isterinya yang lain terdahulu, baginda dikehendaki jangan mengeluarkannya dari istana. Sebaliknya diminta terus memberi kebenaran untuk tinggal di istana walaupun sebagai hamba suruhan. Syarat yang kedua ialah baginda diminta untuk tidak memalukan rakyat walaupun kesalahan yang dilakukan itu adalah besar dan syarat yang ketiga ialah raja hanya boleh menjatuhkan hukuman bunuh jika memenuhi hukum syarak. Berdasarkan kepada petikan tersebut, penulis menerangkan kepada pembaca bahawa perjanjian yang dilakukan di atas itu sebenarnya menjadi dasar kepada konsep daulat dan derhaka di mana melatari perhubungan di antara raja dengan rakyat yang berterusan dari zaman ke zaman sehinggalah ke hari ini. Penulis cuba mengetengahkan sistem pemerintahan dan pentadbiran yang diamalkan oleh golongan atasan kepada golongan bawahan. Dalam perjanjian itu sebenarnya mempunyai perkara yang tersirat iaitu, golongan yang mewakili perjanjian tersebut adalah Demang Lebar Daun yang mewakili golongan rakyat dan Seri Teri Buana yang mewakili golongan di raja. Apabila dikaji semula mengenai perjanjian tersebut maka jelaslah terbukti bahawa perjanjian tersebut tidak sama sekali menjatuhkan martabat dan maruah raja tetapi yang mengalami kerugian adalah golongan rakyat. Penulis cuba menjelaskan bahawa golongan raja mampu untuk melakukan apa sahaja demi untuk menjaga maruah dan martabatnya daripada terjejas. Bukan itu sahaja, penulis cuba menyampaikan kesungguhan Balai Seni Visual Negara (BSVN) yang mengadakan Pameran Sulalatus Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang bertujuan untuk mempertahankan sejarah klasik daripada pupus dan dilupai masyarakat kini. Pameran ini mendedahkan masyarakat mengenai sejarah dan kegemilangan empayar Kesultanan Melayu Melaka sepanjang abad ke-15. Secara kesimpulannya artikel ini membincangkan tentang hubungan raja dengan rakyat dan harga kedaulatannya. Dengan ini dapatlah dikatakan bahawa karya agung merupakan karya yang sangat besar di mana di dalamnya terkandung segala budaya dan kerajaan besar Melayu Melaka. Manakala hasil lukisan yang dipamerkan adalah bagi memastikan pengabdian sejarah bangsa Melayu sebagai teras kesejarahan Malaysia.




ii)  Artikel “Karya Agung
Oleh: Noriah Mohamed
Sumber: Dewan Sastera, Disember 2011

Dalam artikel yang dipetik daripada Dewan Sastera ini, penulis membincangkan mengenai karya agung. Menurut penulis, karya agung menggambarkan kehebatan sesuatu bangsa kerana penulisan atau penghasilan sesuatu karya agung dapat dikenalpasti melalui betuk tulisannya di mana ia mengambarkan keintelektualan sesuatu. Bukan itu sahaja, penulis juga mengutarakan bahawa karya agung dapat membentuk jati diri sesuatu bangsa sehingga dapat memantulkan kembali ketamadunan bangsa tersebut pada bila-bila masa sahaja, sebagaimana kita dapat mengenali ketamadunan lain seperti tamadun Greek, Yunani, Cina, India dan Mesir.
 Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa karya agung menjadi khazanah kekayaan fikiran sesuatu bangsa dan ia juga menjadi rujukan serta landasan bagi sesuatu bangsa itu untuk mengorak langkah kemajuan yang mahu diterokainya. Penulis artikel ini menekankan kepentingan karya agung di mana ia menjadi harta dan khazanah sesuatu bangsa yang membolehkan tamadunnya dikenali buat selama-lamanya.



iii)                Artikel “Hang Tuah dalam Tamadun Melayu
Sumber: Dewan Sastera, April 2012

Artikel ini membincangkan Hikayat Hang Tuah dalam Tamadun Melayu. Penulis cuba mengulaskan Hikayat Hang Tuah dalam ketamadunan Melayu. Manuskrip Hikayat Hang Tuah yang bertulisan Jawi merupakan milik Almarhum Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Tengku Muhammad menjadi sumber utama bagi penerbitan Hikayat Hang Tuah yang pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1964 oleh Kassim Ahmad. Hikayat ini berperanan sebagai karya sastera kerana berjaya menambat hati para sarjana dari pelbagai negara. Hal ini juga jelas kelihatan pada perkataan “Hikayat” yang menjadi pangkal judul karya agung ini. Penulis cuba mengulaskan serba sedikit mengenai Hikayat Hang Tuah ini di mana elemen sejarah yang terkandung di dalamnya dimulakan dengan pengenalan dan penubuhan Kesultanan Melayu Melaka yang berpusat di Singapura sebelum ke Bentan dan ke Melaka. Perjalanan cerita ini dipenuhi dengan pelbagai kisah mengenai kepahlawanan Hang Tuah dan empat saudaranya iaitu Hang Lekir, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Jebat. Hikayat Hang Tuah ini menceritakan kesetiaan dan ketaatan seorang rakyat kepada raja. Ketaatan Hang Tuah amat terserlah apabila dia sanggup berkorban nyawa demi memenuhi segala kehendak raja termasuklah menculik Tun Teja yang menjadi idaman raja. Penulis mendapati bahawa hikayat ini dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian perlawanan dan bahagian pengembaraan, Antara kisah yang penting dalam hikayat ini adalah pertelingkahan yang berlaku antara Hang Tuah dengan Hang Jebat akibat daripada wujudnya sedikit perbezaan pendapat. Meskipun Hang Tuah dan Hang Jebat merupakan sahabat yang baik sejak kecil hingga dewasa namun keengganan Hang Jebat untuk menerima ketaatan Hang Tuah sehingga mengorbankan nyawa telah menyebabkan Hang Jebat mengamuk di istana. Rasa ingin menuntut bela atas kekejaman raja yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Hang Tuah ingin dilunasi Hang Jebat. Akhirnya Hang Jebat telah mati ditikam oleh Hang Tuah. Kesimpulan yang boleh dibuat daripada artikel ini adalah persahabatan, kemanusiaan atau kesetiaan terhadap raja menjadi persoalan yang utama antara Hang Tuah dan Hang Jebat. Tindakan Hang Jebat merupakan satu usaha di mana pengarang cuba menampilkan pandangan terkini mengenai polemik ketaatan terhadap raja yang tidak kemanusiaan. Penulis cuba untuk membolehkan khalayak pembaca untuk mendapat gambaran yang lebih jelas dalam memahami dan menganalisi karya agung ini di samping mengaplikasinya dalam ketamadunan sendiri.




iv)                Artikel “Bahasa Melayu Hak Rakyat Malaysia
Oleh:  Zaiton Darois
Sumber: Dewan Masyarakat, September 2010

Artikel ini membincangkan tentang keunggulan karya agung yang menyebabkan penggunaan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rakyat Malaysia. Bahasa Melayu yang memainkan peranan dalam karya agung Melayu iaitu karya agung Tun Sri Lanang menerusi Sejarah Melayu yang menggambarkan kegemilangan dan kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka. Dalam karya tersebut jelas terbukti bahawa bahasa Melayu menjadi alat perhubungan antara masyarakat berbilang bangsa sejak zaman dahulu lagi. Penulis mengungkapkan bahawa “bahasa merupakan nilai dan budaya bangsa”. Hal ini jelaslah kelihatan dalam penggunaan bahasa Melayu dalam karya-karya agung terutamanya dalam hikayat-hikayat di mana menjadi lingua franca pada masa itu dan juga menjadi bahasa ibunda yng mempunyai hubungan emosional dengan penutur dan rakyat jelatanya. Penulis juga menyatakan bahawa bahasa Melayu digunakan dalam hikayat-hikayat karya agung atas beberapa tujuan antaranya menceritakan semangat perjuangan seperti isu ketidakadilan sosial dan kemiskinan, hubungan antara raja dan rakyat jelata dan sebagainya. Bukan sahaja disampaikan melalui karya-karya agung malahan, nukilan seperti novel, cerpen, puisi juga digunakan sebagai pengantar.                                                                    Dengan ini jelaslah terbukti bahawa sebagaimana karya agung merupakan khazanah atau harta sesebuah bangsa bagi mengangkat tamadunnya, begitulah dengan bahasa Melayu juga. Bahasa Melayu merupakan bahasa hak milik bersama rakyat Malaysia. Pembentukan sesebuah negara adalah melalui bahasa dan budayanya sendiri.



v)                  Artikel “Bahasa dan Tauhid: Warisan Raja Ali Haji
Oleh: Nuim Hidayat
Sumber: Majalah Suara Hidayatullah, Disember 12, 2012

Dalam artikel ini, penulis cuba mengulaskan hasil karya Raja Ali Haji iaitu Kitab Bustan al- Katibin. Kitab tersebut ditulis pada tahun 1850M. Menurut penulis, kitab ini merupakan kitab yang pertama ditulis oleh orang Melayu mengenai bahasa Melayu. Artikel ini dengan kelihatan bahawa perbincangan dilakukan terhadap bahasa Melayu yang menjadi warisan yang amat berharga serta penyumbang kepada tradisi pengajian bahasa dalam Islam yang bermula sejak awal Islam dahulu. (Bustan al- Katibin, Raja Ali Haji, 2005: xiii). Menurut penulis, kitab Bustan al- Katibin ini amat menitikberatkan penggunaan bahasa iaitu bahasa Melayu. Sebagai contoh, dalam Islam, pengajian bahasa Melayu merupakan ilmu alat yang digunakan untuk mencapai makrifat iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudannya, memperteguh keimaman dan ketakwaan serta menyemai adab kesopanan yang mulia. Bukan itu sahaja, ilmu-ilmu yang berkaitan dengan nahwu (sintaksis), sharaf (morfologi), qawaid (bahasa), mantiq (logika), istidhal (pendalilan), kalam (penghujahan) dan sebagainya juga ditekankan dalam kitab ini. Berdasarkan penelitian yang dibuat oleh penulis, beliau mendapati bahawa, kitab Bustan al- Katibin ini, karya Raja Haji Ali akan dimulai dengan Muqaddimah dengan judul Fi Fadhilati al-ilmu wal aqlu yang bermaksud kelebihan ilmu dan akal. Dalam artikel ini juga, penulis membincangkan bahasa dan tauhid di mana Raja Haji Ali memainkan peranannya sebagai peletak bahasa Melayu dalam Kitab Bustan al- Katibin ini. Penulis juga membezakan perbezaan antara Raja Ali Haji dengan tokoh-tokoh bahasa Melayu yang lain ialah hubungan bahasa dengan penciptanya. Raja Ali Haji amat menekankan hubungan yang era antara bahasa, akal dengan pengakuan adanya Allah SWT, maka dengan itu pelajaran bahasa cenderung bersifat sekunder. Tambahan lagi, pelajaran bahasa yang membebaskan manusia dengan penciptanya, maka dengan ini ia menjadikan bahasa itu digunakan dengan seenak yang mungkin. Kemunculan sesuatu bahasa yang lain yang memyebabkan bahasa tersebut tidak bermutu, di mana wujudnya kata-kata kasar, kata-kata prono dan sebagainya yang menjadikan hilang adab dalam berbahasa. Maka dengan ini penulis bertegas dengan pendiriannya iaitu kitab Bustan al- Katibin, karya Raja Haji Ali mementingkan aspek bahasa dan tauhid sehingga mempunyai perbezaan yang ketara antara Raja Haji Ali dengan tokoh-tokoh ahli bahasa Islam dengan tokoh-tokoh lainnya.




vi)                Artikel “Dua Karya Agung Dibedah Siasat
Sumber: Utusan Online, November 02, 2011

Artikel ini membincangkan tentang dua buah karya agung yang dicungkil dan dikaji isi-isinya untuk melihat semula kerelevanan karya tersebut dengan ketamadunan Melayu terdahulu dan kini. Karya agung tersebut adalah Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah. Karya agung ini dikatakan dikaji oleh 10 orang cendekiawan sejarah secara menyeluruh dari pelbagai sudut dalam Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu yang berlangsung di Seri Negeri, Ayer Keroh. Antara cendekiawan yang terlibat dalam pembentangan kertas kerja selama dua hari itu adalah Dr. Muhammad Uthman El. Muhammady dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Shaharuddin Maarof (UM), Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Yusoff Hashim (KUIM), Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Abdul Hamid (UM) dan Prof. Datuk Dr. Md. Salleh Yaapar (USM). Tujuan utama persidangan itu adalah untuk meninjau dan mengkaji pandangan masyarakat terhadap isi kandungan karya agung berkenaan yang meliputi aspek kedaulatan raja, keadilan pemerintah, kebebasan dan kefahaman terhadap institusi kerajaan Melayu. Karya agung Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah merupakan karya agung yang melambangkan kemegahan dan kebesaran tamadun Melayu yang terkandung di dalamnya pelbagai nilai murni yang masih belum diketahui oleh orang ramai. Menurut penulis, persidangan ini dibuka untuk membolehkan karya-karya tersebut memberikan ilmu dan tauladan kepada bangsa Melayu terutamanya yang kini sedang mengalami masalah keyakinan dan identity diri. Bukan itu sahaja, kajian terhadap karya ini dilakukan bagi mengenalpasti unsur mitos di dalamnya dan mendedahkan segala nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya kepada masyarakat untuk dinilai. Secara kesimpulannya, kedua-dua karya agung tersebut dikaji semula bagi mengenalpasti keberkesanannya dalam ketamadun Melayu sekarang.




vii)              Artikel “Tradisi dan Nilai dalam Model Karya Agung
Oleh: S.M .Zakir
Sumber: Dewan Sastera, Disember 2011

Dalam artikel ini, penulis cuba membincangkan istilah atau maksud karya agung itu sendiri. Menurut beliau, Agung membawa maksud paling besar, terutama, tertinggi, teristimewa dan terkemuka. Manakala Karya pula bermaksud buatan atau ciptaan. Maka dengan ini karya agung bermakna ciptaan atau buatan yang terutama, tertinggi dan teristimewa yang dihasilkan oleh pengarang. Meletakkan karya agung iaitu hikayat-hikayatnya dalam kelas yang tertinggi, yang utama dan ternilai harganya menyebabkan karya-karya agung tersebut diletakkan dalam konteks kebitaraanya. Penulis menjelaskan lagi akan konsep yang menyebabkan sesebuah karya itu diangkat sebagai karya agung. Menurutnya penentuan sesebuah karya adalah berdasarkan kepada pembinaan modelnya. Pembinaan model secara tidak langsung akan menghindarkan diri daripada terperangkap dalam perbalahan yang mungkin tidak menemukan kesudahannya. Secara jelasnya, penulis menjelaskan erti bagi karya agung itu sendiri dan kriteria yang membolehkan sesebuah karya itu diangkat sebagai karya agung.





viii)            Artikel “Karya Agung ada Kelas Tersendiri
Oleh: Rashid Ahmad
Sumber: Utusan Online Ogos 18, 1998

Penulis artikel ini membincangkan kedudukan karya agung yang mengangungi setiap bangsa dalam ketamadunan mereka. Pengarang menjelaskan setiap bangsa bertamadun mempunyai karya agungnya yang tersendiri. Sebagai contoh, negara bangsa Rusia berbangga dengan War and Peace yang dikarya oleh Leo Tolstoy manakala negara bangsa Perancis pula berbangga dengan karya Robespiere Equality. Namun demikian penulis amat berbangga kerana bangsa Melayu juga mempunyai karya-karya agungnya yang tersendiri. Berikut merupakan beberapa contoh karya-karya agung yang disenaraikan oleh penulis. Antaranya ialah:
a)      Hikayat Hang Tuah
b)      Tuhfat al- Nafis
c)      Bustan al- Katibin
d)     Sulalatus Salatin
e)      Hikayat Acheh

Menurut penulis lagi, “Melayu Nusantara” merupakan definisi Melayu yang digunakan untuk mengklasifikasikan karya agung bangsa Melayu. Karya agung yang merupakan karya yang telah lama diterbitkan, di mana menjangkau beradab-abad lamanya, maka usaha untuk menerbitkan semula karya-karya agung ini telah diambil bagi menerbitkannya dalam bentuk yang lebih eksklusif di samping menjadikannya kelas yang tersendiri sejajar dengan keagungannya. Bagi melaksanakan usaha-usaha yang dinyatakan itu, sebuah agensi telah ditubuhkan iaitu agensi Yayasan Karyawan di mana ia merupakan sebuah agensi yang menjadi tonggak kepada pemikiran dalam melahirkan karya-karya agung Melayu. Peranan utama pertubuhan Yayasan tersebut ialah untuk menjalankan penyelidikan, mencari karya-karya klasik Melayu yang mungkin terlepas pandang atau berada di luar negara dan dibawa semula ke negara asal bertujuan untuk memberikan nafas baharu supaya ianya menjadi warisan ketamadunan bangsa Melayu. Penulis juga telah membincangkan kejayaan yang dilaksanakan oleh Yayasan Karyawan tersebut di mana agensi tersebut telah melahirkan tiga buah karya agung iaitu Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah dan Tuhfat al- Nafis. Sulalatus Salatin merupakan sebuah karya yang terhasil daripada perintah Raja, Bendahara Paduka Raja, Tun Muhammad yang lebih terkenal dengan nama Tun Sri Lanang. Karya ini dikatakan penting kerana menceritakan sejarah-sejarah, adat istiadat dan persoalan yang berkisarkan dalam kronologi sejarah sahsiah dan budaya Melayu. Bukan itu sahaja, dalam karya ini, perbendaharaan bahasanya menandakan usianya kerana terdapat sejumlah kata-kata bahasa Melayu Kuno. Artikel ini juga membincangkan sinopsis yang ringkas bagi membolehkan para pembaca memahami serba sedikit mengenainya. Karya kedua yang ditingkatkan taraf oleh Yayasan Karyawan adalah Hikayat Hang Tuah di mana versi mutakhir karya tersebut telah diberikan pengenalan tambahan oleh Dr. Noriah Mohamed dari kajian dan pengenalan awal yang dibuat oleh Kassim Ahmad. Namun demikian, pengarang asal karya ini tidak diketahui dan dikenal pasti tidak mahu menonjolkan diri mereka sebagai sifat kepengarangan. Karya yang ketiga ialah Tuhfat al- Nafis. Versi asal karya ini dikaji dan diperkenalkan oleh Dr. Virginia Matheson, seorang sarjana Kesusasteraan Melayu di Australian National University, Canberra, Australia. Versi ini dikatakan lahir daripada kajian dan penelitian terhadap lima naskah manuskrip Tuhfat al- Nafis yang tersimpan di perpustakaan di London, di Ledian dan di Pusat Dokumentasi Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka. Karya sejarah Melayu yang meliputi peristiwa-peristiwa dalam kalangan semua kerajaan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Riau- Lingga bermaksudHadiah Yang Berharga. Selain itu, penulis juga mengetengahkan bagaimanakah cara versi terbaharu karya-karya agung diterbitkan. Antaranya ialah, kertas-kertas yang digunakan adalah kertas jenis tahan lama, halaman-halamannya berwarna putih dengan bingkai awan larat yang diilhamkan daripada kerawang ukiran Melayu dan gambar-gambar dicetak semula dengan dilindungi oleh kertas lut sinar. Dalam kandungan artikel ini, Hassan menyatakan bahawa karya agung merupakan warisan persuratan dan kebijaksanaan sesuatu bangsa yang mempunyai nilai budaya, pemikiran, sejarah dan juga seni yang tinggi dan tahan zaman.  Karya agung Melayu tidaklah terhad pada karya-karya klasik yang diyakini karya pascazaman penulisan tetapi boleh juga termasuk karya lisan, misalnya cerita penglipur lara, pantun dan pepatah. Secara kesimpulannya, artikel ini banyak membincangkan karya-karya agung yang telah diagungkan oleh agensi Yayasan Karyawan, kaedah-kaedah yang digunakan untuk menaiktarafkan karya agung tersebut terutamanya Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah dan Tuhfat al-Nafis. Usaha memartabatkan karya agung sedemikian penting dalam memastikan warisan ketamadunan bangsa Melayu tidak pupus ditelan zaman.



ix)                Artikel “Perjuangan Fisabilillah Raja Haji dalam Tuhfat al-Nafis
Sumber: Berita Harian Online, Mac 28, 2006

Artikel dalam akhbar ini membincangkan perjuangan tokoh Raja Ali Haji dalam karya agung Tuhfat al- Nafis. Artikel ini hanya memfokuskan bahagian enam dalam karya agung tersebut iaitu merakamkan kisah perjuangan fisabilillah Raja Ali Haji, pahlawan terbilang Bugis, anak Opu Daeng Celak yang diangkat menjadi Yang Dipertuan Muda Riau untuk menentang Belanda. Bukan itu sahaja, dalam artikel ini juga menceritakan bahawa Raja Ali Haji yang membuat perjanjian dengan pihak Belanda di negeri Melaka tetapi Belanda telah memungkiri janji sehingga menimbulkan perselisihan dan Raja Ali Haji telah memulangkan surat perjanjian tersebut kepada gabenor Melaka. Oleh itu, pihak Belanda amat marah dengan tindakan Raja Ali Haji dan keadaan telah dihuru-harakan lagi dengan fitnah orang ramai yang mengatakan Raja Ali Haji telah mempersiapkan kelengkapan untuk menyerang Melaka. Maka dengan itu, gabenor telah memberi perintah kepada Piter Jacob Pemberam untuk menyerang Riau terlebih dahulu dan terjadi pertempuran yang telah mengakibatkan Belanda mengalami kekalahan apabila kapal miliknya telah terbakar. Sementara itu, Yang Dipertuan Negeri Selangor, Putera Raja Haji yang mendengar Belanda telah menyerang Riau itu datang untuk menyerang Melaka tetapi pada ketika itu, tiba-tiba di Batang Tiga, Belanda telah menyerang angkatannya. Walau bagaimanapun, angkatan negeri Selangor telah berjaya menumpaskan serangan itu dan memaksa angkatan Belanda untuk berundur semula ke Melaka manakala Raja Selangor pada masa itu yang tiba di Riau telah mengajak Raja Haji ke Melaka. Kandungan dalam artikel ini membincangkan perjanjian dan pertempuran yang dihadapi oleh Raja Ali Haji berikutan dengan kemungkiran janji oleh pihak Belanda. Raja-raja Melayu pula berselisih antara satu sama lain untuk membenarkan atau tidak Raja Ali Haji pergi ke Melaka untuk berperang tetapi dengan hasrat untuk berjuang fisabilillah, Raja Ali Haji kemudiannya telah bersetuju untuk belayar ke Melaka. Dengan ini dapatlah dikatakan bahawa demi untuk mempertahankan perjuangannya, Raja Ali Haji bersetuju untuk ke Melaka. Beliau telah berkubu di Teluk Ketapang untuk mengatur serangan ke atas Semabuk dan selepas berlakunya pertempuran yang sengit itu, Semabuk dapat diambil oleh Raja Ali Haji selain beliau turut bermesyuarat dengan Raja Selangor untuk mengatur serangan dari darat. Setelah beberapa lama bertempur, Raja Ali Haji akhirnya dapat mengambil beberapa daerah di sekeliling Melaka tetapi kotanya masih lagi dikuasai oleh Belanda manakala gabenor Melaka berada dalam kesusahan kerana belum menerima bantuan daripada Betawi. Oleh itu, Gabenor Melaka kemudiannya telah mengirimkan surat kepada raja-raja Melayu agar membantunya dan memberi jaminan dan pertolongan kepada mereka, lalu Raja Siak, Muhammad Ali dan sepupunya, Sayid Ali pergi ke Melaka untuk membantu Melaka. Tidak lama kemudian selepas itu, bantuan daripada Betawi dengan 30 buah kapal perang dan beberapa ribu askar orang putih dan hitam telah tiba di Melaka untuk menberikan pertolongan sehingga Belanda menyerang Teluk Ketapang. Apabila diketahui bahawa Belanda semakin hampir, Raja Ali Haji pun menghunuskan badiknya sambil berwirid Dala’il al-Khayrat tetapi terkena peluru lalu rebah. Apabila Belanda melihat Raja Ali Haji telah mangkat terkena tembakan peluru, maka bedian pun dihentikan. Kemudian seluruh keluarganya iaitu Raja Ali Haji diarahkan keluar dari kubu tanpa ditangkap dan diminta untul menyempurnakan jenazah Raja Ali Haji berserta dengan adat istiadatnya. Belanda telah berhasrat untuk membawa mayat Raja Ali Haji ke Betawi untuk dikebumikan tetapi pada malam tersebut sebelum bertolak, terjadi peristiwa api yang memancar daripada peti jenazah lalu membakar kapal yang sedia hendak membawanya dan kapal itu meletup. Maka dengan itu terbatal hasrat Belanda itu dan jenazah Raja Ali Haji kemudiannya dikebumikan di belakang kubun kompeni sebelum diambil oleh anak-anaknya dan disemadikan di Bukit Pulau Penyengat, Riau. Berdasarkan pada pembacaan yang dibuat daripada artikel tersebut dapatlah dikenal pasti bahawa keseluruhan artikel ini membincangkan perjuangan Raja Ali Haji dari seawalnya sehinggalah beliau telah terkorban dalam pertempuran tersebut. Jelaslah terbukti bahawa perjuangan beliau amatlah besar sehingga beliau mengorbankan nyawanya sendiri.



(Sumber : http://karyagungsem4.blogspot.com/2013/05/koleksi-koleksi-artikel-berhubung-karya.html)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan