Khamis, 24 April 2014

ULASAN KARYA AGUNG

Memahami Falsafah Membaca Karya Agung

Falsafah dalam Karya Agung
Dalam penghasilan sesebuah karya tidak lengkap sekiranya pengarang tersebut tidak memuatkan falsafah-falsafah yang bersesuaian dengan penceritaan sesebuah karya. Bagi hikayat Abdullah terdapat lima falsafah yang dikemukakan iaitu ketuhanan, keadilan, kebenaran dan keindahan.

• Falsafah Ketuhanan
Falsafah ketuhanan yang dikemukan adalah mengenai kebencian karut dan tahyul masyarakat Melayu yang membelakangkan kuasa Allah S.W.T . Abdullah berfikiran rasional dan realistik dan tidak mempercayai bomoh, dukun dan pawang.

• Falsafah Keadilan
Falsafah keadilan yang dikemukan adalah berkaitan dengan kes Syed Yasin, kes kezaliman Sultan,
Keadilan Farquha yang sedia membantu golongan bawahan yang kesusahan

• Falsafah Kebenaran
Munsyi Abdullah menyatakan perkara kebenaran dalam hikayatnya. Perkara yang diceritakan merupakan sesuatu yang betul-betul berlaku dan diamalkan sehingga ke hari ini seperti kepercayaan tahyul oleh masyarakat Melayu.

• Falsafah Keindahan
Keindahan yang dimaksudkan dari segi bahasa, adat dan pemikiran yang diutarakan dalam hikayat. Hikayat Abdullah membawa perubahan tema, plot, dan jalan cerita seperti karya-karya yang ditulis dalam zamannya.

Isu yang Dibangkitkan oleh Pengarang
Dalam Hikayat Hang Tuah, pengarang telah menjelaskan mengenai watak Hang Tuah yang fasih 12 jenis bahasa. Beliau pandai bertutur dalam bahasa Nagaram. Ketika mengadap Kisna Rayan (Raja benua Keling-Bijaya Nagaram), beliau telah bercakap menggunakan bahasa Nagaram. Beliau telah mempelajari bahasa tersebut daripada seorang lebai. Kemampuan beliau ini adalah salah satu ciri penting seorang tokoh epik iaitu bijak menguasai ilmu berbahasa di dunia.

    Antara isu lain yang cuba untuk diketengahkan oleh pengarang lagi adalah mengenai sifat ajaib yang dimiliki oleh Hang Tuah. Hang Tuah mempunyai kebolehan yang luar biasa. Hang Tuah telah menunjukkan sesuatu pertunjukan yang dianggap permainan. Beliau telah mengeluarkan suatu benih pokok kayu. Apabila benih itu ditanam terus tumbuh serta berdaun dan sesaat itu juga berbunga lalu berputik dan berbuah masak. Beliau telah memperolehi benih itu melalui mimpi. Apabila sudah dimakan buahnya, dengan segera pohon itupun ghaib. Kebolehan Hang Tuah yang luar biasa ini merupakan satu lagi bukti bahawa beliau layak digelar wira epik.

    Selain Hikayat Hang Tuah, terdapat juga isu-isu dalam karya Sulalatus Salatin, misalnya mengenai sikap pemimpin. Pemimpin janganlah mengikut hawa nafsu syahwat. Sultan Mahmud Melaka digambarkan terlalu mengikut hawa nafsu syahwatnya menyebabkan dia dibenci oleh rakyatnya. Raja Pahang berhasrat untuk menyerang Melaka setelah tunangannya Tun Teja dilarikan oleh Laksamana ke Melaka. Tun Biajid juga menimang lembing untuk membunuh Sultan Mahmud yang telah berlaku curang dengan isterinya. Semua ini menunjukkan bahawa kesan pemimpin yang hanya mengikut nafsu akan membawa kecelakaan dan konflik dalam negeri.

     Selain itu, turut diceritakan mengenai isu pantang larang sebagai adat istiadat dan perundangan negara. Dalam Sulalatus Salatin aspek adat istiadat dan pantang larang merupakan elemen perundangan dalam pentadbiran negara. Ia hendaklah dipatuhi oleh semua pihak demi melahirkan kententeraman dan kemakmuran Melaka. Antaranya ialah pantang larang berpakaian. Rakyat jelata dilarang dari menggunakan pakaian yang berwarna kuning, di buat tepi tabir, ulasan bantal besar dan tilam, bungkusan barang, dijadikan barang perhiasan, kain, baju dan destar, Begitu juga sekiranya ingin masuk ke istana, seseorang itu harus memakai kain berpancung dan berkeris di hadapan serta bersebai sekiranya berkeris di belakang akan dirampas.

      Di samping itu, pantang Derhaka. Rakyat jelata adalah ditegah sama sekali melakukan penderhakaan kepada raja. Hal ini sesuai dengan pepatah Melayu yang mengatakan raja merupakan payung rakyat tempat berteduh, pantang Melayu menderhaka, sekiranya seseorang itu menderhaka maka balasan buruk bakal menanti, iaitu hukuman bunuh. Bagi penderhaka, ia tidak layak untuk berada di atas bumi. peristiwa ini dapat dilihat dalam peristiwa Hang Jebat yang mati di bunuh apabila bertindak menderhaka ke atas Sultan Mansor menyebabkan beliau mati dibunuh di tangan sahabatnya sendiri, Hang tuah. Begitu juga dengan mayatnya turut dibuang ke laut serta anak isterinya turut dibunuh. Kaki tiang dan tanah bekas rumahnya turut dibuang ke laut. Betapa besarnya kesalahan menderhaka yang dianggap tidak layak untuk berada di bumi.

Mengenal Ciri-ciri Karya Agung
Antara ciri-ciri karya agung seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Merong Mahawangsa, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Hang Tuah dan Bustanul Katibin adalah seperti berikut, iaitu:
     i.      Lambang atau pesanan yang disampaikan oleh karya.
 ii.   Nilai seni budaya dan falsafah atau pandangan hidup bangsa
                         iii.        Nilai ilmu
                          iv.        Teknik kepengarangan dan seni bahasa

Karya agung banyak memperlihatkan tahap keunggulan kreativiti, seni persuratan dan nilai budaya tinggi.

Membicarakan Karya Agung
Karya agung ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Kita mengenal tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.

        Karya Agung Melayu pula ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini. Karya Agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, atau orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan karya itu. Dari segi ini sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di manakah daerah asalnya di Dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun.

Membuat Analisis Kritis dan Mereviu Sebuah Karya Agung
Sulalatus Salatin yang juga dikenali sebagai Sejarah Melayu merupakan kitab hasil kepengarangan Tun Sri Lanang. Karya ini menceritakan zaman kesultanan Melayu melaka yang dikatakan dibawa dari Goa. Goa yang selama ini dianggap di India, sebenarnya merupakan suatu tempat yang terletak di Sulawesi Indonesia. Karya ini telah dikarang oleh Tun Sri Lanang ketika beliau menjadi Bendahara Paduka Johor antara tahun 1580 hingga 1615. Tun Sri Lanang telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Sulalatus Salatin mengandungi 15 bab.

     Permulaan bab dibincangkan dengan jurai keturunan raja Melaka sehingga pembentukan Melaka ataupun sesudah pembukaan Melaka. Pembahagian perbincangan Sulalatus Salatin terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu sebelum pembukaan kota Melaka (mengandungi 4 bab) dan selepas pembukaan kota Melaka (mengandungi 11 bab). Karya Sejarah Melayu ini mempunyai banyak versi. Namun, pembentang pada hari tersebut tidak memberitahu secara jelas versi kitab yang dirujuk mereka untuk pembentangan pada hari tersebut. Tiada dijelaskan juga mengenai perbezaan– perbezaan antara versi Kitab Sejarah Melayu yang lain. Berdasarkan pembentangan yang lalu, dapat saya rumuskan bahawa karya agung ini mengutarakan pelbagai falsafah dan etika di dalamnya. Pada hari pembentangan, para pembentang telah mengutarakan tujuh falsafah, iaitu ketaatan kepada pemerintah, keadilan, waad, nilai dan etika, adat, keberanian, dan kekuasaan.

        Dalam karya ini, falsafah ketaatan dirujuk kepada beberapa orang tokoh yang disebut dalam karya ini, antaranya ialah Demang Lebar Daun, Hang Tuah, Bendahara Paduka Raja, Hang Nadim dan Bendahara Seri Maharaja. Demang Lebar Daun seorang yang taat apabila membenarkan puterinya berkahwin dengan Seri Tribuana. Hang Tuah pula terlalu taat kepada sultan sehinggakan rela menerima hukuman bunuh dari sultan setelah difitnah berkelakuan sumbang dengan dayang. Hang Tuah rela dihukum biarpun beliau tidak bersalah. Baginda Paduka Raja dikatakan taat kepada sultan apabila akur dan tidak memprotes apabila anaknya, Tun Besar dibunuh oleh anak sultan apabila bola sepak raganya terkena destar anakanda sultan lalu terjatuh ke tanah. Berpegang kepada prinsip “adat Melayu tidak perbah derhaka” maka Baginda Paduka Raja menerima perkara tersebut meskipun anaknya mati dibunuh. Kesimpulan yang dapat dibuat dari falsafah ketaatan ini, konsep ketaatan yang diamalkan terlalu keterlaluan dan terlalu mengagung–agungkan sultan biarpun tindakan sultan tersebut adalah salah dan melampau.

        Namun, kami berasa agak keliru kerana Baginda Seri Maharaja dikatakan seorang yang taat kepada sultan. Hal ini kerana, keengganan beliau mempersembahkan puterinya kepada Sultan Mahmud telah menunjukkan ciri penderhakaan kepada sultan. Bendahara Seri Maharaja berpeluang untuk membantah hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas beliau sekeluarga. Beliau ketika itu dalam posisi sangat kukuh dari segi politik dan ekonomi sebaliknya beliau melarang para pengikutnya daripada memberontak. Mungkin peristiwa ini menabalkan beliau sebagai seorang yang taat kepada sultan.

        Falsafah kedua yang dibentangkan adalah Waad. Waad merupakan kontrak sosial di antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba. Jika waad ini dilanggar, maka pelbagai bencana akan menimpa seperti menghidapi penyakit kerdal. Oleh itu, wujudnya perkara tulah dan daulat. Saya melihat waad ini sebagai suatu kontrak atau perjanjian di antara golongan pemerintah dan rakyat. Terkandung pelbagai perjanjian yang bertimbal balik. Contohnya, rakyat tidak boleh menderhaka kepada raja dan raja juga tidak boleh menzalimi rakyat. Rakyat tidak boleh menderhaka dan perlu taat kepada raja. Perjanjian ini dapat membuatkan rakyat tunduk patuh kepada raja da sekiranya tidak patuh, mereka akan ditimpa bencana.

       Falsafah ketiga yang diutarakan ialah falsafah keadilan. Contohnya, Sultan Muzaffar Syah wujudkan undang – undang untuk mengelakkan menteri melakukan kesilapan. Ganjaran kepada kesilapan adalah hukuman. Dalam kitab ini, tidak banyak yang ditonjolkan mengenai sikap raja yang adil. Ketidakadilan raja juga dengan beraninya ditonjolkan oleh Tun Sri Lanang. Beliau patut dipuji kerana tidak hanya menceritakan kebaikan sahaja, malah turut menceritakan kezaliman raja terhadap rakyat dan pembesar–pembesarnya. Terdapat banyak peristiwa yang mempamerkan ketidakadilan raja.

        Falsafah keempat yang ditonjolkan telah dalam pembentangan adalah falsafah adat. Adat merupakan peraturan yang diamalkan sejak turun – temurun. Adat perlu dipatuhi. Dalam Kitab ini terdapat banyak adat Melayu yang diamalkan oleh golongan diraja dan golongan rakyat. Ada antaranya masih digunapakai dan ada juga di antaranya diubahsuai supaya sesuai dengan peredaran masa.

       Falsafah kelima yang ditunjukkan adalah falsafah kekuasaan. Kitab ini terlalu banyak menceritakan kekuasaan raja. Raja sangat berpengaruh dari segala sudut. Raja berkuasa menitahkan apa sahaja kepada rakyat da rakyat perlu menunaikannya jika tidak mahu dihukum. Saya melihat, kuasa raja sebagai kuasa mutlak terlalu banyak menindas golongan rakyat. Kandungan kitab ini mempamerkan sikap raja yang kejam dan sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan sesuatu. Raja pada zaman dahulu terlalu berkuasa sehingga bertindak zalim di luar batas kemanusiaan. Justeru, tidak hairanlah mengapa rakyat begitu patuh kepada raja biarpun diperlakukan dengan buruk rupa.

        Falsafah keenam yang ditonjolkan dalam pembentangan ialah keberanian. Keberanian raja merujuk kepada keberaniannya menjajah da mentakluk negeri lain untuk meluaskan pengaruh jajahannya. Dalam kitab ini, turut diceritakan mengenai sikap keberanian yang ditonjolkan oleh golongan rakyat biasa seperti badang. Kitab ini banyak menonjolkan ketokohan keberanian Hang Tuah. Hang Tuah digambarkan sebagai seseorang yang sangat hebat. Perkara ini seperti sengaja ditonjolkan untuk menunjukkan kehebatan dan keberanian orang-orang Melayu pada waktu tersebut. 

       Falsafah ketujuh yang ditonjolkan ketika pembentangan adalah nilai dan etika. Etika dan nilai yang digarap dalam kitab ini diwarisi rakyat. Kitab ini juga menggariskan tugas–tugas raja dan pembesar dan peranan–peranan rakyat. Raja juga sebagai bayangan tuhan atau payung kepada rakyat.  

       Kesimpulannya, secara keseluruhan dapat dilihat betapa karya agung ini bersifat sejagat dan menyeluruh. Namun, terdapat unsur–unsur mitos yang seakan–akan tidak masuk akal di dalam kitab ini. Kekuasaan yang ditonjolkan oleh raja secara melampau dan juga kezaliman raja menunjukkan betapa tidak adilnya raja pada suatu ketika dahulu. Dalam kitab ini juga ditonjolkan secara melampau ketaatan kepada raja. Justeru, pepatah ‘adat Melayu tidak menderhaka’ begitu terserap dalam masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu.


(Sumber : http://agungkarya13.blogspot.com/p/ulasan.html) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan