Jumaat, 18 April 2014

TOKOH-TOKOH KARYA AGUNG

HAMZAH AL-FANSURI
Hamzah Fansuri adalah tokoh ugama yang menggegarkan dunia melalui puisi-puisi sufinya. Menurut sastrawan Abdul Hadi MW, Hamzah Fansuri merupakan pencipta "syair Melayu" yang bercirikan puisi empat baris dengan pola rima akhir "a-a-a-a". Bakatnya sebagai sasterawan besar terserlah dalam kemampuan dan kreativitinya merubah bahasa lama menjadi bahasa baru dengan cara memasukkan ratusan kata Arab, istilah konseptual dari Al Quran dan falsafah Islam. Bahasa ini kemudiannya menjadi sebagai bahasa intelektual yang dihormati sebab dapat menampung gagasan baru yang diperlukan pada zaman itu.

Latarbelakang:

Hamzah Fansuri lahir di Barus atau Fansur iaitu sebuah kawasan yang merupakan pusat pendidikan Islam dan melahirkan ramai ulama terkenal.

Dari segi pendidikan, Hamzah mendapat pendidikan di merata tempat seperti Jawa, Tanah Melayu, India, Parsi dan negara-negara Arab.

Sekembalinya ke Barus, beliau menjadi guru agama di Aceh pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah ( 1588-1604).  Salah seorang pelajarnya ialah Syamsuddin Al-Sumaterani. Hamzah berkebolehan dalam bidang pendidikan dan pernah menjadi penasihat kepada Sultan Aceh dan banyak membantu Sultan Aceh dalam hal pentadbiran negeri.

Hamzah bukan sahaja ulama tetapi juga seorang sasterawan.  Beliau menguasai bidang agama, fikah, tasawuf, mantik, sejarah, falsafah, dan menguasai pelbagai bahasa seperti Urdu, Arab dan Parsi.

Dalam bidang sastera, Hamzah terkenal sebagai seorang penyair.  Karangan syairnya banyak mengandungi unsur falsafah yang tinggi.

SUMBANGAN HAMZAH FANSURI DALAM KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL:

a.   Memperkenalkan sastera sufi atau mistik:
Hamzah adalah pengasas dan berpegang kuat kepada Aliran Wahdatul Wujud.  Beliau telah mendirikan madrasah dan mempunyai ramai pelajar atau pengikut.

b.   Pengarang pertama menghasilkan karya kesusasteraan bercorak keagamaan:
Hamzah adalah pengarang pertama menghasilkan karya kesusasteraan bercorak keagamaan yang bersifat akhliah atau ilmiah.  Karyanya ditulis dalam Bahasa Melayu.  Kebolehannya dalam pelbagai bahasa membolehkannya menghayati karya-karya dari bahasa lain.

c.   Sumbangan Dalam Bidang Sastera:
Dalam bidang kesusasteraan, Hamzah banyak menghasilkan karya berbentuk prosa dan puisi.  Contoh karya dalam bentuk prosa ialah Asrarul Ariffin, Syarab al Asyikin dan Al-Muhtahi.  Kitab Syarab al Asyikin merupakan kitab tasawuf yang pertama ditulis dalam bahasa Melayu yang membicarakan syariat, tarekat, hakikat, makrifat dan zat tuhan.  Sementara Kitab Asrarul Ariffin merupakan sebuah kitab tasawuf yang membicarakan tentang akidah menurut aliran Wahdatul Wujud.  

Contoh karya Hamzah dalam bentuk puisi yang berunsur agama dan tasawuf ialah Syair Perahu, Syair Dagang, Syair Burung Pingai, dan Syair Sidang Fakir.  Karya-karya syairnya tergolong dalam karya falsafah dan metafizika atau mistik iaitu membicarakan tentang kewujudan Tuhan dan hubungannya di antara manusia dengan tuhannya.

d.  Pengarang pertama mencatat nama pengarang iaitu mencatat nama di rangkap akhir.     
     Teknik ini adalah pengaruh qasidah dan ghazal.

e.  Pengarang pertama memperkenalkan mukadimah dalam karya-karya ilmiah.

Melalui karya-karya tersebut menonjolkan Hamzah Fansuri sebagai penyair yang ulung dalam zamannya di samping merupakan tokoh ulama dalam bidang fikah, tasawuf, mantik dan falsafah.  Berdasarkan pemikiran beliau yang tinggi dalam karya-karyanya beliau ditempatkan sebagai pelopor kesusasteraan Melayu Moden oleh Syed Naquib Al Attas dan bukannya Munsyi Abdullah seperti yang dikemukakan oleh sarjana Barat.

PENGARUH DAN KEISTIMEWAAN KARYA HAMZAH FANSURI

Pengaruh karya-karya yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri terhadap masyarakat pada zamannya amat besar terutama fahaman Wahdatul Wujud yang disebarkannya.  Pengikutnya yang terkenal ialah Syamsuddin Al-Sumaterani.

Selepas kematian Hamzah Fansuri dan Syamsuddin A-Sumaterani, Syeikh Nuruddin Al Raniri telah berjaya mempengaruhi Sultan Aceh ketika itu iaitu Iskandar Thani untuk memerangi fahaman-fahaman Wahdatul Wujud.  Akhirnya kitab-kitab Hamzah Fansuri diperintahkan supaya dibakar.  Pengaruh Hamzah Fansuri dalam bidang syair amat besar kerana puisi ini kemudiannya menjadi puisi yang amat terkenal di Nusantara.

Peranan penting Hamzah al Fansuri dalam sejarah pemikiran dunia Melayu Nusantara bukan saja kerana gagasan tasawufnya, tetapi puisinya yang mencerminkan pergelutan penyair menghadapi realiti zaman dan pengembaraan spiritualnya. 

Salah satu karya penting dari Hamzah Fansuri adalah Zinat Al-Wahidin yang ditulis pada akhir abad ke-16 ketika perdebatan sengit tentang fahaman wahdat al-wujud sedang berlangsung dengan tegang di Sumatera. Teks ini diyakini oleh para peneliti sebagai kitab keilmuan pertama yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Hamzah Fansuri juga dikenal sebagai seorang pelopor dan pembaru melalui karya-karya Rubba al Muhakkikina, Syair Perahu, dan Syair Dagang. Kritiknya yang tajam terhadap perilaku politik dan moral raja-raja, para bangsawan, dan orang-orang kaya, menempatkannya sebagai seorang intelektual yang berani pada zamannya. 

Syamsuddin al-Sumaterani



LATAR BELAKANG

Syamsuddin al-Sumaterani ialah seorang ulama, penulis dan ahli tasawuf Indonesia. Nama sebenarnya ialah Syeikh Syamsuddin bin Abdullah as-Sumaterani. Beliau juga dikenali sebagai Syamsuddin Pasai.
 
Menurut para sejarawan, penisbahan namanya dengan sebutan Sumaterani ataupun Pasai menjelaskan adanya dua kemungkinan. Kemungkinan pertama, orang tuanya adalah orang Pasai (Sumatera). Dengan demikian maka dapat dikatakan bahawa beliau dilahirkan dan dibesarkan di Pasai. Kemungkinan yang kedua pula ialah ulama terkemuka pada zamannya ini telah lama bermukim di Pasai. Beliau ialah pengikut mazhab Shafie dan membawa ajaran tasawuf Hamzah Fansuri. 

Shamsuddin juga tergolong sebagai ahli sufi yang mengamalkan ajaran Wahdatul Wujud atau Wahdat-al-Wujud. Meskipun Syamsuddin lebih dikenali berbanding daripada gurunya, tetapi tarikh lahir dan pendidikan awalnya masih tidak jelas. Menurut Ahmad Jelani Halimi (2008), dalam sebuah tulisan, Syamsuddin menyebut nama seorang syeikh iaitu Muhammad bin Fadl Allah dari Burhanapur. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa Syamsuddin pernah menuntut ilmu di India.

Sebagai seorang ulama, Syamsuddin mendapat tempat yang istimewa dalam kerajaan Aceh DarulSallam semenjak pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah al-Mukammil (1588/9-1640 Masihi) sehingga ke zaman Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636 Masihi). Dia bertugas di Istana Aceh selama lebih kurang 35 tahun. Di samping itu, dia dilantik sebagai ketua ulama seluruh Aceh. Menurut catatan Frederick de Hotman dalam bukunya Cort Verhael vant Wederratens is Fredeick de Hontman, tot Atchein (1603), Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani ialah penasihat agung diraja. A. Hasjmy mengatakan bahawa Shamsuddin telah diangkat menjadi Kadhi Malik al-Adil kerajaan Acheh pada masa itu (1983). 

Walaubagaimanapun, T. Iskandar mengatakan bahawa Shamsuddin tidak pernah dilantik menjadi Kadhi Malik al-Adil sebaliknya kedudukan beliau di istana adalah lebih tinggi daripada pembesar-pembesar negara yang lain. Hal ini dapat dikesan melalui tulisan Nuruddin al- Raniri yang menyentuh mengenai kewafatan Shamsuddin bertepatan dengan kekalahan angkatan perang Acheh di Melaka.
            “Kemudian dari itu maka dititahkan Orang Kaya Maharaja Seri Maharaja dan Orang Kaya Laksamana menyerang Melaka, pada tatkala Hijrah 1038 tahun, tetapi tiada alah kerana berbantah antara dua orang panglima itu. Pada ketika itulah segala orang Islam banyak mati syahid. Syahadan pada masa itulah wafat Syeikh Shamsuddin ibn Abdullah as-Sumaterani, pada malam Isnin, dua belas haribulan Rejab, pada Hijrah 1039. Adalah syeikh itu alim pada segala ilmu, dan ialah yang termasyhur alimnya pada ilmu tasawuf, dan beberapa kitab ditaklifkannya.”

Selain itu, menurut T. Iskandar (1987) dalam Hikayat Acheh juga diberikan sedikit keterangan mengenai pendidikan  Sultan Iskandar Muda pada masa kecil yang disentuh melalui kehadiran Shamsuddin. Pada masa Perkasa Alam (Iskandar Muda) berumur 13 tahun, baginda telah tamat menuntut pelajaran bertangkis. Naskhah ini menyebut;
            “Maka pada ketika itu Syeikh Shamsuddin itulah dan segala pendeta dan segala syarif dan segala hulubalang yang bernama Seri Rama ada hadir menghadap Syah Alam maka membaca fatihah dan segala pendeta dan segala syarif mengatakan: “amin.”

Petikan tersebut jelas menunjukkan bahawa pada masa Iskandar Muda berusia 13 tahun, Syamsuddin sudah mempunyai kedudukan yang penting di istana Acheh. Hal ini berbeza dengan Hamzah Fansuri yang tidak pernah memegang jawatan semasa di Acheh. C.A.O. van Nieuwenhuyze mengatakan bahawa Syamsuddin di Acheh dapat disamakan dengan Faidli dan Abdul Fadl, dua orang penasihat Raja Moghol Akbar di India kerana istana Acheh pada masa itu menjadikan istana Raja-raja Moghol sebagai contoh bagi raja-raja di kepulauan Melayu ini. Oleh itu, ada pihak yang mendakwa Hikayat Acheh yang tidak diketahui pengarangnya sebagai karya tulisan Shamsuddin Pasai.

KARYA-KARYA SYAMSUDDIN AL-SUMATERANI

Seperti Hamzah Fansuri, Syamsuddin banyak menulis untuk menyampaikan ilmunya berkaitan wujudiah. Namun, kebanyakan kitab tulisannya dan Hamzah Fansuri telah dibakar. Kitab-kitab yang diketahui hasil tulisan Shamsuddin ialah seperti berikut:
i. Miratul Mukminin (Cermin Perbandingan Bagi Orang-orang Mukmin)
ii. Jauhar Haqaaiq (Permata Kebenaran)
iii. Risalatul Baijin Mulahadhatil Muwahhiddin Alal Mulhidi fi Zikrillah (Tinjauan Ahli-ahli Tauhid Terhadap Orang-orang Yang Sesat Mengingati Allah)
iv. Kitabul Harakah (Mengenai Ilmu Bahasa)
v. Nurul Daqaaiq (Cahaya yang Murni)
vi. Miratul Iman (Cermin Keimanan)
vii. Syarah Miratul Qulub (Uraian Tentang Cermin Segala Hati)
viii. Kitab Tazyim
ix. Syar’ul Ariffin ( Jalan Orang Arif Budiman)
x. Kitabul Ushulut Tahqiq ( Kitab Dasar-dasar Penguat)
xi. Miratul Haqiqah (Cermin Hakikat)
xii. Kitabul Martabah (Kitab Tentang Martabat Manusia)
xiii. Risalatul Wahhab ( Risalah Tentang Maha pemberi)
xiv. Miratul Muhaqqiqin (Cermin Para Ahli Pembukti)
xv. Tanbihul’lah (Peringatan Allah)
xvi.Syarah Ruba’i Hamzah Fansuri (Uraian dan tafsir tentang karya Hamzah Fansuri berjudul Ruba’i Fansuri)

SUMBANGANNYA DALAM AJARAN TASAWUF

Sebagai pendukung tarekat Wujudiyah, ajaran Syamsuddin berkisar kepada keesaan makhluk dengan Tuhan. Hal ini terbukti apabila banyak dalih yang diberinya bergantung kepada Hadith Kudsi yang diinterpretasikan mengikut pandangan mistik. Syamsuddin Sumaterani adalah salah seorang daripada empat ulama yang paling terkemuka di Acheh. 3 orang ulama yang lain ialah Hamzah Fansuri, Nuruddin al- Raniri dan Abdul Rauf Singkel.


            Perihal keintiman hubungannya dengan Nuruddin ar-Raniri, tidak diketahui secara pasti. Yang jelas adalah tujuh tahun setelah Syamsuddin Sumaterani wafat, Raniri memperoleh kedudukan seperti sebelumnya yang diperoleh Syamsuddin Sumaterani. Beliau diangkat menjadi mufti Kerajaan Aceh Darussalam pada tahun 1637 oleh Sultan Iskandar Tsani. Disebabkan fatwanya yang mengkafirkan fahaman wahdatul wujud Syamsuddin Sumaterani, maka para pengikut Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Sumatrani dihukum oleh pihak penguasa dengan hukuman bunuh. Namun demikian, para pengikut fahaman Sumaterani itu ternyata tidak punah semuanya sebaliknya menjadi semakin teguh dan tersebar dalam kalangan rakyat.

            Pada sekitar tahun 1644 Raniri disingkirkan dari kedudukannya selaku mufti kerajaan Aceh Darussalam. Beliau pun terpaksa pulang ke Ranir, Gujarat. Sebagai penggantinya, Sultanah Tajul Alam Safiatuddin (1641-1675) kemudian mengamanahkan jabatan mufti kerajaan kepada Saifur Rijal. Saifur Rijal ialah seorang Minang yang juga penganut fahaman wahdatul wujud telah kembali ke Aceh selepas mendalami bidang agama di India. Dengan demikian, fahaman tasawuf Syamsuddin Sumaterani itu kembali mewarnai corak keislaman di Kerajaan Aceh Darussalam.

(SUMBER : http://kmtppuintan.blogspot.com/2011/08/hamzah-al-fansuri.html dan
http://ilmukaryaagungmelayu.blogspot.com/2013/05/syamsuddin-al-sumaterani.html )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan