KONSEP RETORIK
Retorik ialah seni penulisan atau pengucapan yang berkesan iaitu seni yang memberikan tumpuan kepada gaya, strategi, bahan, dan khalayak. Selain itu, retorik juga merupakan seni atau kepandaian komunikasi yang efektif.
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994), retorik bermaksud teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan dan pertuturan. Justeru, ragam bahasa yang pelbagai diperlukan sebagai cara untuk mempengaruhi pendengar atau pembaca. Menurut Lanham (1991), retorik merupakan seni dalam mendapatkan keyakinan seseorang melalui wacana bahasa.
Hal yang sama turut dikemukakan oleh Raminah Sabran (2002), iaitu retorik ialah seni penulisan. Retorik menyentuh hal yang berkaitan dengan cara menyampaikan pendapat, idea dan saranan atau cara menghuraikan sesuatu wahana kepada penulis untuk mempersembahkan pemikirannya, tanggapannya atau perasaannya dengan jelas dengan gaya yang berkesan. Pemahaman penulis tentang retorik dan kecekapan menerapkannya amat penting untuk membolehkannya menghasilkan penulisan yang terdiri daripada wacana yang kukuh.
Menurut Asmah (1998), retorik bermakna kajian tentang penggunaan bahasa secara berkesan. Berdasarkan konteks yang sesuai, retorik juga dapat diertikan sebagai keupayaan menggunakan bahasa secara berkesan, atau juga ciri-ciri yang berkesan dalam bahasa. Retorik menyentuh hal yang berkaitan dengan cara menyampaikan pendapat, idea, dan saranan, atau cara menghuraikan sesuatu wahana kepada penulis untuk mempersembahkan pemikirannya, tanggapannya, atau perasaannya dengan jelas dengan gaya yang berkesan. Pemahaman penulis tentang retorik dan kecekapan menerapkannya amat penting untuk membolehkannya menghasilkan penulisan yang terdiri daripada wacana yang kukuh.
Beberapa jenis retorik yang lazim digunakan dalam sesuatu penulisan atau karya ialah retorik pendedahan atau eksposisi, naratif, deskriptif, penghujahan dan pemujukan. Antara jenis tersebut, retorik pendedahan atau eksposisi merupakan retorik paling umum digunakan dalam penulisan, malah dianggap retorik paling asas. Retorik jenis ini digunakan dalam membuat pendedahan sesuatu isu, konsep, pandangan, proses dan sejarah sesuatu dengan menggunakan teknik sama ada deduktif, induktif atau analogi.
Secara lebih mendalam, retorik pendedahan merupakan cara penulis menyampaikan idea atau pandangan, menginterpretasi peristiwa, menganalisis masalah sosial dan isu politik, menghuraikan hasil kajian, menerangkan konsep, memberikan definisi, dan sebagainya. Malah dalam mengaplikasi retorik jenis-jenis lain sama ada jenis naratif, deskriptif, penghujahan, atau pemujukan, unsur retorik pendedahan turut digunakan sebagai penerapan. Retorik pemujukan bermatlamat memujuk pembaca berbuat sesuatu, seperti yang diharapkan penulis. Keupayaan penulis untuk menguasai audiens amat penting.
Diksi yang tepat dan jalinan ayat yang kemas dan pelbagai memainkan peranan penting kerana kedua-duanya dapat memberikan tenaga kepada penulisan untuk menarik perhatian pembaca. Hal yang sama turut dikemukakan oleh Stott dan Avery (2001) yang menyatakan bahawa sesuatu penulisan yang baik memerlukan gaya yang berkesan. Gaya merupakan perkataan yang digunakan untuk menjelaskan cara penutur atau penulis melahirkan idea atau perkara yang ingin disampaikan kepada pendengar atau pembaca. Dalam kajian tersebut, antara aspek yang diteliti ialah aspek pemilihan kata, struktur ayat dan susunan kata, penggunaan bahasa kiasan seperti metafora dan simile, dan penggunaan unsur-unsur retorik.
(SUMBER:http://karyagungmelayu.blogspot.com/2013/05/kein dahan-retorik-melayu-klasik-dalam.html)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan