HIKAYAT
HANG TUAH
Analisis
Hikayat Hang Tuah
Hikayat
Hang Tuah hidup sebagai sebuah hasil sastera Melayu lama dan mempunyai
keindahannya. Pengarang Hikayat Hang Tuah telah mengambil watak Hang Tuah dari
manusia sejarah Hang Tuah dan ketika membina watak ini, ia disenyawakan dengan
aspirasi dan perasaan, sifat dan keadaan-keadaan dalam masyarakat Melayu
zamannya. Hikayat Hang Tuah menggambarkan zamannya dan watak-watak dalam
Hikayat Hang Tuah adalah model-model manusia zamannya.
Tema kesetiaan, kesanggupan dan kejayaan umat Melayu disenyawakan dengan
semesra-mesranya dalam watak Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah adalah sebuah roman
sejarah bercorak kebangsaan yang mempunyai seni dalam erti ia menyuarakan
perasaan dan kesanggupan bangsa Melayu zamannya. Penyuaraan kesetiaan,
kesanggupan dan kedayaan bangsa Melayu adalah dalam bentuk sindiran atau
kiasan. Sindiran dan kiasan di sini adalah untuk membaiki, memberi moral dan
alasan kepada sesuatu kejadian.
Hikayat Hang Tuah dikarang berdasarkan watak Hang Tuah yang pernah menjadi
hulubalang Melaka. Hal ini adalah untuk membina kembali moral dan menyemaikan
semangat ialah dengan menghidupkan seluas-luasnya alam pengembaraan. Kegigihan
Hang Tuah merupakan satu seni yang indah. Kejayaan pengarang Hikayat Hang Tuah
ialah dalam menggambar Hang Tuah sebagai Adiwira Melayu. Sifat kewiraan ini
digunakan pada masa bangsa Melayu lemah moralnya dan bagi memulihkan kembali
moral tersebut ialah dengan menanam kepercayaan dan pegangan bahawa pada suatu
masa dahulu bangsa Melayu gagah, setia dan punya kesanggupan. Cara ini
merupakan satu seni sastera yang dapat kita samakan dengan konsep ‘sastera
untuk masyarakat’. Pada satu situasi, kita dapati Hang Tuah dengan sejarah
kepahlawanannya, pada situasi yang satu lagi, kita dapati keadaan moral bangsa
Melayu lumpuh. Pengarang menggunakan watak Hang Tuah untuk menebus keadaan ini.
Jika kita menilai Hikayat Hang Tuah dari kaca mata kita sekarang dan
menggunakan konsep sekarang untuk perkara yang terdapat dalam Hikayat Hang
Tuah, kita mungkin berakhir dengan kegagalan. Konsep keadilan, konsep
kesetiaan, soal nyata dan khayal berlainan sekali antara dahulu dengan
sekarang. Jikalau kita hendak memahami dan menilai Hikayat Hang Tuah dengan
sewajarnya, mestilah kita fahami konsep berikut, dengan latar belakang
zamannya:
i. Konsep
kesetiaan dan pandangan rakyat terhadap raja yang memerintah
ii. Konsep
khayalan yang berasaskan masyarakat zaman Hang Tuah dan bukan konsep khayalan dalam abad dua puluh.
Setiap
hikayat lama menggambarkan kebahagiaan untuk heronya pada penghujung cerita.
Keistimewaan hikayat Hang Tuah ialah Hang Tuah, Raja Melaka dan Bendahara
Paduka Raja dikekalkan dan tidak ditamatkan riwayat mereka. Berbalik kepada
gambaran kejayaan dan kesanggupan bangsa Melayu, kita dapati bahawa dalam
simbolisnya hero-hero kejayaan zaman Melaka dan kebesaran Melayu ini tidak akan
lenyap dari sejarah. Mematikan mereka adalah mematikan sejarah kejayaan dan
kegemilangan bangsa Melayu pada suatu masa dahulu. Mereka merupakan lambang
perjuangan Melayu dan mungkin manusia sebagai Hang Tuah sudah mati, namun
bangsa Melayu yang dilambangkan dalam sifat Hang Tuah akan terus hidup.
Pemikiran
Pengarang Hikayat Hang Tuah
Pengarang
Hikayat Hang Tuah mempunyai idealisme untuk mengangkat martabat bangsa Melayu
setinggi mungkin. Hal ini dapat dilihat apabila pengarang banyak menceritakan
kebudayaan dan sosial masyarakat Melayu yang membawa pengertian yang luas
merangkumi segala hal berkaitan dengan masyarakat termasuklah sistem sosial,
struktur sosial, bentuk kepercayaan, perhubungan antara anggota masyarakat dan
strategi fikasi sosial, kepercayaan dan agama. Watak-watak yang diceritakan
dalam Hikayat Hang Tuah seperti watak Hang Tuah, Hang Jebat, Tun Teja
menunjukkan keasliaannya dan menggambarkan watak-watak bangsa Melayu yang
mewakili zamannya. Dalam teks ini, watak Hang Tuah membawa lambang kesempurnaan
bangsa Melayu yang dapat dijadikan sebagai contoh oleh generasi yang terkemudian.
Hal ini demikian kerana, setiap perlakuan serta perbuatan Hang Tuah
melambangkan keperibadian bangsa Melayu itu sendiri.
Menurut Hasan Ahmad (1997), penonjolan jati diri Melayu menerusi watak Hang
Tuah bersesuaian dengan kehendak atau ciri-ciri karya tersebut yang dianggap
oleh kebanyakan sarjana sebagai salah sebuah karya agung bagi bangsa Melayu.
Hal ini ternyata sekali jika kita merujuk mengenai persoalan pengorbanan untuk
raja, agama serta bangsa seperti yang telah ditunjukkan melalui watak Hang Tuah
dalam hikayat ini. Dalam hikayat ini dipaparkan bagaimana Melaka dan Majapahit
yang merupakan dua bangsa yang mewakili bangsa Melayu dan Jawa bersaing sesama
sendiri demi mempamerkan kejaguhan dan keagungan bangsa masing-masing. Dalam
Hikayat Hang Tuah juga turut digambarkan bahawa masyarakat Melayu yang diwakili
Hang Tuah sering disaingi serta diancam dengan penampilan watak negatif Jawa.
Pahlawan-pahlawan Jawa sering mencuba untuk menggugat kedudukan kerajaan Melayu
Melaka dan mencabar kepahlawan Hang Tuah. Ketika Hang Tuah berada di Majapahit,
dapat dikesan penegasan dan penonjolan istilah Melayu atau bangsa Melayu,
misalnya:
“
Maka kata Patih Gajah Mada, bukan engkau sekalian aku hendak menyuruh
mengalahkan negeri. Engkau hendak kusuruhkan mencuba hulubalang Melayu yang
datang itu…”
(
Hikayat Hang Tuah, hlm. 115 )
Sehubungan
itu, penampilan Hang Tuah bukan sekadar untuk menyedapkan penceritaan tetapi
pengarang berhasrat untuk menjadikan watak tersebut sebagai lambang keagungan bangsa
Melayu. Hal ini dapat dilihat pengulangan istilah Melayu dalam Hikayat Hang
Tuah seperti berikut:
“Maka
Tun Tuah melompat menyalahkan tikam penjurit itu, seraya katanya, ‘Akulah
hulubalang Raja Melaka, syahdan akulah yang bernama Laksamana, hulubalang pada
Tanah Melayu;…”
(
Hikayat Hang Tuah, hlm. 155 )
Dalam
hal ini, jelas watak Hang Tuah mewakili bangsa serta negara atau kerajaannya,
iaitu Kesultanan Melayu Melaka dan bangsa Melayu.
SULALATUS
SALATIN
Analisis
Sulalatus Salatin
Aspek
budaya, perpaduan dan mobiliti jelas dapat dilihat dalam karya agung Sulalatus
Salatin ini. Dalam karya ini, banyak aspek kebudayaan dapat dilihat, iaitu
budaya dalam mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerabat
diraja. Seperti yang kita sedia maklum, karya ini sarat dengan kisah
pembesar yang berkuasa dan telah menetapkan pelbagai peraturan yang perlu
dipatuhi oleh rakyat jelata. Sebagai contoh, pada zaman Kesultanan Melayu
Melaka, raja telah menyediakan peraturan, iaitu larangan untuk mengamalkan gaya
hidup masyarakat pembesar dalam kalangan rakyat. Pada suatu ketika dahulu,
warna kuning merupakan warna diraja daripada aspek pakaian, peralatan dan
perhiasan. Oleh hal yang demikian, rakyat biasa tidak dibenarkan untuk
menggunakan warna kuning dalam kehidupan seharian mereka. Selain itu, rakyat
juga tidak dibenarkan memiliki keris sebagai senjata. Dengan berkuatkuasanya
undang-undang ini, maka ia diaplikasikan dalam kehidupan seharian bagi
menghormati taraf raja sebagai pembesar dan pemimpin.
Selain itu, aspek perpaduan juga adalah satu elemen penting dalam penulisan
karya Sulalatus Salatin ini. Hal ini demikian kerana, masyarakat terdahulu
sangat mementingkan perpaduan dalam kalangan mereka. Mereka percaya bahawa
dengan wujudnya perpaduan, mereka akan hidup dalam keadaan aman, damai dan
harmoni. Karya ini banyak menceritakan perpaduan antara penduduk tempatan
dan penduduk luar sebagai contoh hubungan antara negeri Melaka dengan Sulawesi
yang terjalin akibat daripada hubungan diplomatik. Selain daripada itu,
dapat dilihat juga berlakunya hubungan antara Melaka dengan Siam dan kedua-dua
hubungan diplomatik ini berupaya menaikkan imej kerajaan Melayu Melaka. Secara
tidak langsung, dengan wujudnya hubungan dan perpaduan Melaka dengan kedua-dua
negeri tersebut, empayar Melaka dapat diluaskan lagi.
Berdasarkan karya ini juga, kita dapat melihat bahawa terdapatnya aspek
mobiliti yang berlaku melalui perkahwinan. Sebagai contoh, puteri
Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir iaitu Tun Fatimah yang telah berkahwin
dengan Sultan Mahmud Syah dan seterusnya diangkat menjadi Raja Perempuan Besar
Melaka. Oleh hal yang demikian, dapat disimpulkan bahawa dengan adanya
perkahwinan sebegini, taraf atau kedudukan seseorang telah diangkat kepada
keududukan yang lebih tinggi. Selain itu, mobiliti ini juga dapat dilihat
melalui pembukaan negeri yang telah memberikan perubahan yang sangat
mendadak. Sebagai contoh, Raja Iskandar Syah yang telah membuka Melaka
berdasarkan peristiwa pelanduk putih telah mendapatkan kerjasama daripada semua
rakyat jelata untuk membuka negeri di tempat tersebut. Melalui kerjasama yang
dapat dilihat dalam kalangan rakyat ketika itu, dapat dibuktikan bahawa telah
terbinanya pembangunan modal insan kesan daripada mobiliti tersebut.
Kekuatan
Pengarangan dalam Sulalatus Salatin
Terdapat
beberapa kekuatan pengarangan yang dapat dilihat sewaktu mengkaji Hikayat
Sejarah Melayu ini. Antaranya ialah seperti berikut:
i)Penggunaan
banyak Perbandingan Melampau (Hiperbola)
Berdasarkan
Hikayat Sejarah Melayu, pengarang menggunakan unsur hiperbola yang dilihat
begitu menarik perhatian pembaca. Unsur ini adakalanya dilihat sebagai sesuatu
yang tidak logik tetapi unsur yang menarik itu dapat melihat bagaimana
pengarang berjaya mengaplikasikan unsur-unsur persekitaran dalam karya
penulisan mereka. Keadaan ini dapat dilihat seperti dalam contoh yang berikut:
“Daripada kebanyakan ra’yat berjalan itu
segala hutan belantara pun habis menjadi padang, bumi pun bergetar seperti
gempa, gunung-gunung pun bergerak, runtuh kemuncaknya. Maka, segala bukit yang
tinggi-tinggi itu pun habis menjadi rata, segala sungai yang besar-besar pun
menjadi kering, jadi darat.”
(Sulalatus
Salatin, 1997: 15)
ii)Pengulasan
yang Mendalam tentang sesuatu Perkara
Sesuatu
yang jarang dapat dilihat pada penulis zaman sekarang ialah dapat mengupas
sesuatu perkara secara mendalam terutama sekali mengenai salasilah keturunan
sesebuah keluarga tersebut. Keadaan ini dapat dilihat seperti dalam contoh yang
berikut:
“....umur baginda di atas kerajaan
tiga ratus lima puluh lima tahun lamanya Raja Iskandar. Maka Raja Arasythun
Syah pun berpindahlah dari negeri yang fana ke negeri yang baqa. Maka, anakanda
Raja Afdhuslah naik raja dalam negeri Hindi. ‘Umur baginda atas kerajaan
seratus dua puluh tahun. Setelah sudah baginda hilang maka Raja Askainat namaya
naik raja; umur baginda di atas kerajaan tiga tahun. Setelah itu
baginda..........”
(Sulalatus Salatin, 1997 :8)
iii)Mempamerkan
Unsur Moral kepada Pembaca
Melalui
Hikayat Sejarah Melayu ini, terdapat pelbagai unsur nilai dan pengajaran yang
dapat diperoleh. Nilai-nilai murni secara tidak langsung akan dapat memberi
kesan kepada pembaca. Mana tidaknya, pembaca yang mengkaji dan menghayati
hikayat ini secara tidak langsung akan membandingkan watak-watak yang digarap
pengarang dengan diri mereka sendiri. Secara tidak langsung, sedikit sebanyak
nilai-nilai positif dan pengajaran dapat diserap ke dalam diri pembaca. Keadaan
ini dapat dilihat seperti dalam contoh di bawah:
“Hai anakku, jangan berbanyak tama’
kamu akan segala arta orang, dan jangan kamu ingin akan isteri anak hamba
kamu-kamu kedua ini, muafakat dua bersaudara dan jangan kamu bersalahan dua
bersaudara.”
(Sulalatus Salatin, 1997: 48)
iv)Menekankan
Aspek Agama
Dalam
aspek agama pula, kita dapat melihat bagaimana pengarang cuba menerapkan aspek
agama ke dalam diri pembaca. Keadaan ini dapat dilihat dalam watak seorang
fakir yang cuba menjejak seseorang yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad saw
dalam mimpinya. Fakir ini cuba mengikut petunjuk yang disampaikan dalam
mimpinya untuk mengislamkan pemimpin dan penduduk berdasarkan mimpinya
tersebut. Keadaan ini dapat dilihat seperti pada situasi berikut:
“Setelah esok hari maka fakir itu pun
naiklah ke darat membawa Qur’an. Maka disuruhnya baca pada orang isi negeri
Fansuri, seorang pun tiada dapat membaca dia. Maka kata fakir itu dalam
hatinya, “Bukan negeri ini yang seperti sabda nabi kita, Muhammad Rasulullah
sallallahu ‘alaihi wasallam.”
(Sulalatus Salatin, 1997:5)
SUMBER:
Bendahara
Paduka Raja dan Uleebalang Tun Seri Lanang Kesultanan Johor Lama dan Samalang
(2012). Diperoleh pada April 20, 2013 daripada http://www.khazanahbendaharaserimaharaja.com/tun-seri-lanang.html
Sahlan Mohd Saman (1994). Pengarang teks dan khalayak.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tun Seri Lanang (1997). Sulalatus Salatin ya’ni
perteturun segala raja-raja (sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan
dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
http://karyaagungbms.blogspot.com/2013/05/ulasan-karya-agung.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan