Isnin, 31 Mac 2014

KONSEP KEINDAHAN MELAYU KLASIK


Definisi klasik:


Menurut Collins English Dictionary, (1981: 281) ‘classic’ dirujuk kepada sesuatu yang bermutu dan tinggi nilainya. ‘classics’ dirujuk kepada karya yang agung, terutamanya karya-karya zaman Greek dan Latin.
Menurut Kamus Besar Indonesia (1988: 445), klasik bermakna sesuatu yang mempunyai nilai atau posisi yang diakui dan tidak diragukan.

Konsep Karya Melayu Klasik

Karya yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan seperti pepatah, pantun, lipur lara dan lain-lain dalam bahasa Melayu.
Tidak mengambil kira kelompok bangsa atau etnik dalam kawasan dunia Melayu ini, sama ada orang Semenanjung Tanah Melayu atau orang Melayu Brunei, orang Acheh, orang Bugis, orang Minangkabau dll yang menghasilkan karya itu.

Konsep Keindahan Melayu Klasik

Istilah keindahan merupakan salah satu istilah pokok dalam sistem estetika kesusasteraan Melayu. Konsep keindahan dalam tradisi dan budaya Melayu menurut V. I. Braginsky (1994:16) ,beliau merumuskan bahawa terdapat 3 aspek yang dinyatakan dalam karya-karya sastera menerusi penggantian perkataan ‘indah’ dengan kata-kata yang seerti.
Menurutnya keindahan sesuatu karya dipercayai boleh mempengaruhi jiwa seseorang, mempunyai kuasa penyembuh dan manfaat yang terkandung di dalamnya. Keindahannya karya Melayu klasik ini terletak pada tema ,  persoalan, watak dan perwatakan, plot, gaya bahasa, latar masyarakat serta nilai dan pengajaran.

ESTETIK & ESTETIKA DALAM KARYA MELAYU KLASIK

Estetik boleh diertikan sebagai persepsi pancaindera (sense of perception), iaitu merupakan istilah estetika yang digunakan untuk  kajian falsafah.
Secara umumnya perkataan estetika dalam bahasa Yunani ialah aesthesis yang membawa maksud hal-hal yang dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus lagi membawa maksud ‘kepekaan’ nanusia terhadap sesuatu gaya penulisan.
Selain itu, estetika juga membawa banyak pengertian daripada ramai tokoh falsafah. Ahli falsafah Jerman bernama Alexander Baumgarten (1714-1716) adalah orang pertama yang memperkenalkan perkataan aisthetika.
Estetik adalah rasa indah pada umumnya dan tentang keseniaan pada khususnya. Pandangan mengenai falsafah dan estetika sangat berhubung rapat dengan kesenian. Apabila disentuh tentang keindahan, maka secara langsung akan diperkatakan perkara berkaitan seni dan kesenian.
Estetika secara umumnya bermaksud keindahan. Oleh sebab itu, estetika merupakan satu cabang yang sangat dekat dengan falsafah seni. Nilai estetika itu sendiri melibatkan seni dan keindahan. Apabila dilihat dari konsep yang berkaitan dengan karya, kita dapat mengaitkan unsur ini dengan karya yang dihasilkan iaitu penghasilan bahasa yang estetik iaitu indah dan berseni. Secara umumnya, estetika dikaitkan dengan karya seni manusia atau mengenai alam semesta.
William Haverson mengatakan estetika adalah segala hal yang berhubungan dengan sifat dasar nilai-nilai nonmoral suatu karya seni. Estetika sering diungkapkan sebagai persamaan makna seni, tetapi ia berbeza dengan ‘falsafah keindahan’, kerana estetika tidak semata-mata menjadi permasalahan falsafah.
Di dalamnya menyangkut perbahasan ilmiah berkaitan dengan karya seni, yang merangkumi bidang ilmiah, antaranya meliputi perbincangan tentang keindahan dalam seni atau pengalaman estetik, gaya atau aliran seni, perkembangan seni dan sebagainya. Secara langsung pengkajian falsafah estetika bersangkutan dalam bidang-bidang seperti psikologi, sosiologi, antropologi dan lain-lain yang bersangkutan.
Estetika juga dapat dikaitkan sebagai keindahan yang berdasarkan penglihatan iaitu seni rupa dan keindahan yang boleh didapati melalui pendengaran contohnya, muzik. Oleh sebab itu, keindahan dapat diertikan sebagai keindahan yang meliputi aspek keindahan seni, keindahan alam, keindahan moral, dan keindahan intelektual.
Estetika sebagai keindahan dan keagungan. Estetika juga merupakan sebahagian penciptaan simbol-simbol yang wujud dari perasaan manusia sebagai hasil keseniaan dan juga sesuatu yang mewakili perasaan amnesia. Maksudnya, estetika bersifat simbolisme iaitu simbol-simbol yang dimaksudkan bukan sahaja hasil karya seni lukis tetapi hasil binaan yang mempunyai simbolik tersendiri hasil ciptaan manusia.



RUJUKAN

1.     Harun Jaafar, (2002). Wacana Kesusasteraan Melayu Klasik. Perak: Penerbit Universiti 
         Pendidikan Sultan Idris.

2. Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, (2005). Stilistik Komsas. Perak: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

3. V.I.Braginsky, (1994). Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

4. http://karyaagungmelayu 2013.blogspot.com/2013/04/estetik-dalam karya-agung.html.








Ahad, 30 Mac 2014

DEFINISI DAN ETIMOLOGI MELAYU


Etimologi bermaksud kajian asal usul dan sejarah sesuatu perkataan serta makna perkataan tersebut. Menurut Mohd Rashid (2007), melayu itu terbit daripada perkataan Sanskit Malaya atau daripada perkataan Tamil "Malai" yang berertibukit atau tanah tinggi. Orang Portugis mengelarnya sebagai Malayo. Mengikut sejarah, bangsa yang bernama Melayu itu menepat dengan sunyi di sebuah kawasan anak sungai yang bernama Sungai Melayu di Hulu Sungai Batang Hari atau kini terkenal dengan nama Sungai Jambi. Di kawasan hulu Sungai Jambi itu ada sebuah kerajaan Melayu semasa sebelum terkenal Kerajaan Srivijaya atau Palembang Tua.

Sementara itu, perkataan melayu’’ dikatakan daripada perkataan Mo-lo-yeu. Ini dibuktikan dengan penemuan beberapa catatan oleh para pengembara. Antaranya penemuan catatan pemgembara Cina sekitar tahun 644-645 M. Catatan Rahib Buddha bernama I-Tsing yang singgah di Srivijaya pada 672 M mengatakan bahawa Bahasa Melayu digunakan di Palembang. Manakala pengembara Portugis, Godinho de Erachia, mengatakan Bahasa Melayu  dalam perhubungan di Kepulauan Melayu dengan pedagang-pedagang dari Asia Barat, India dan China. Perkataan Melayu pada  Kerajaan Mo-lo-yue di Jambi, Sumatera, sempena sebatang sungai yang dipanggil “Sungai Melayu’’.  Bagi salasilah Bahasa Melayu, dalam kajian rumpun dan Keluarga Bahasa Melayu, kita perlu memahami istilah yang penting. Antaranya istilah tersebut yang perlu difahami ialah filum iaitu kelompok bahasa seusia 5000 tahun, rumpun pula kelompok bahasa 2500-5000 tahun dan keluarga merupakan kelompok bahasa seusia kurang daripada 2500 tahun.

Istilah Melayu juga disebutkan diambil daripada perkataan bahasa Jawa Kuno, melayu, yang bermaksud mengembara atau pergi ke mana-mana’’. Maksud perkataan ini dikatakan sesuai dengan orang Melayu yang dikatakan berpindah dari Yunan menuju ke kawasan Selatan, menyeberangi  Selat Melaka dan mendarat di Pulau Sumatera. Menurut Nik Safiah Karim (2010), asal usul orang Melayu, iaitu penuntur asli bahasa Melayu, amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum diselidiki dengan mendalam. Beberapa teori telah mengatakan bahawa penuntur bahasa Melayu berasal daripada golongan manusia yang diberi nama Austronesia. Mereka datang dari daerah Yunan dan menjelajah ke Selatan, dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia, dan menduduki wilayah Asia Tenggara. Ini berlaku sejak tahun 2500 sebelum Masihi, iaitu berlaku dengan kedatangan golongan pertama yang disebut Melayu Proto; kemudian, kira-kira dalam tahun 1500 Sebelum Masihi, datang pula gelombang yang kedua, golongan yang disebut Melayu Deutro. Mereka ini telah menduduki daerah pantai dan tanah lembah di Asia Tenggara, dan telah memperlihatkan kepandaian belayar dan bercucuk tanam.

Menurut Abdul Rashid (2005), dalam kajian Zuber Osman sebelum menentukan apa itu bahasa Melayu, terlebih dahulu tentukan pengertian perkataan ‘Melayu’. Perkataan Melayu berasal daripada ‘Himalaya’ yang telah disingkatkan kepada ‘Malaya’, dan kemudiannya menjadi Melayu. Perkataan ‘Himalaya’ berasal daripada perkataan ‘hima’ dan ‘alaya’. ‘Hima’ bererti salji atau salju. Sedangkan ‘alaya’ bererti tempat. Dengan itu hima alaya maksudnya tempat sejuk, seperti di puncak gunung yang tinggi.

Manakala ada juga pengkaji yang mengatakan  bahawa Melayu itu daripada  perkataan ‘Malaiyur-pura’ yang terpahat pada prasasti Bukit Gombak I di Sumatera Barat yang bererti kota Malaiyur, atau kota gunung. Dari situ timbul perkataan malaiyur = malaiyu = malayu = melayu. Pada Batu Bersurat Bukit Gombak Stau di Sumatera barat, tercatat perkataan Melayu Pura bermaksud ‘kota Melayu’ atau ‘Kerajaan Melayu’. Dengan kata lain, istilah Melayu diambil daripada perkataan Malayapura.

Selain itu, ada juga yang mengatakan bahawa perkataan Melayu berasal daripada perkataan ‘pamalayu’, iaitu peristiwa ketika berlaku penyerangan oleh Raja Kertanegara dari Singhasari Jawa Timur di Hulu Jambi di sempadan Sumatera Barat. Kemudian di situ didirikan sebuah prasasti, iaitu prasasti Amoghapasa. Prasasti itu dibina sebagai peringatakan tentang berlakunya ekspedisi angkatan perang dari Jawa Timur tadi ke daerah Melayu pada tahun 1286. Pamalayu itu bermaksud Ekspedisi Malayu, iaitu penyerangan dan  seterusnya penguasaan terhadap negeri Melayu. Perkataan Melayu itu berasal daripada perkataan Jawa Kuno dan Jawa Baru, iaitu mlaya dan mlayu yang bererti lari.

Akhir sekali, pendapat mengatakan perkataan Melayu berasal daripada Malayu,iaitu sebuah kerajaan yang berpusat di Muara Jambi. Kerajaan Melayu ini terwujud pada abad ke-7 (644M) dan pernah dilawati oleh I-Tsing pada 671M. Nama Malayu bagi kerajaan Malayu ini berasal daripada nama sebuah sungai yang terletak di situ, iaitu Sungai Melayu. Penamaan kerajaan atau negeri daripada nama sungai adalah perkara biasa dalam budaya Melayu, seperti nama Negeri Johor, Pahang, Kelantan, Sarawak, Perak, Kedah, Siak, Terengganu, Inderagiri dan banyak lagi yang berasal daripada nama sungai. Tetapi bagaimana pula nama sungai diberi Melayu, tidak yang lain? Mengikut ceritanya air di sungai itu begitu deras arusnya, selaju orang berlari. Dengan itu ia diberikan nama sungai Malayu atau Melayu. Melayu di sini sama dengan pengertian dalam bahasa Jawa, iaitu lari. Menurut Asmah Hj Omar (1993), pengetahuan tentang asal usul bangsa Melayu diperolehi dari bahan-bahan peninggalan purbakala. Dengan itu, orang-orang Melayu dan orang-orang yang seketurunan dengannya di seluruh Kepulauan Melayu dikatakan berasal dari Tanah Besar Asia.


MAKSUD KARYA AGUNG

KARYA AGUNG 


KARYA AGUNG ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri.
Kita mengenal tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.


KARYA AGUNG MELAYU 

KARYA AGUNG MELAYU ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini. Karya Agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, atau orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan karya itu.
Dari segi ini sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di manakah daerah asalnya di Dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun.

KARYA AGUNG DUNIA MELAYU


KARYA AGUNG DUNIA MELAYU dimaksudkan kepada karya agung di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lain. Terdapat banyak karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bangsa berkenaan sebagai karya agung, antaranyaNagarakertagama atau Serat Centhini yang ditulis dalam bahasa Jawa, atau I la Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis.
Karya-karya yang seperti ini jika sesuai dengan takrif Yayasan, boleh diterima sebagai Karya Agung Dunia Melayu dan bolehlah dimasukkan ke dalam rancangan Yayasaan untuk dikaji, diperkenalkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu melalui terjemahan.

(sumber dipetik daripada http://www.yayasankaryawan.com/)


Jumaat, 28 Mac 2014

FALSAFAH BERSUMBERKAN MELAYU


Kehidupan masyarakat Melayu tidak boleh terlepas daripada peraturan dan disiplin. Oleh hal yang demikian, mereka menerapkan unsur tersebut di dalam karya mereka. Misalnya, masyarakat Melayu menekankan konsep budi dalam kehidupan mereka.
Konsep budi
1.   Budi bahasa
2.   Budi bicara
3.   Budi pekerti
4.   Hati budi
5.   Akal budi

¢ Budi bahasa
Budi bahasa dan budi bicara yang mulia merujuk kepada pertuturan yang manis, sopan, positif, bijaksana, bernas dan penuh pengajaran, serta memberikan sumbangan kepada khalayak dan pendengarnya (Mohd Rashid Idris, 2011: 64).
¢ Budi pekerti
Budi bahasa dan budi bicara yang mulia merujuk kepada pertuturan yang manis, sopan, positif, bijaksana, bernas dan penuh pengajaran, serta memberikan sumbangan kepada khalayak dan pendengarnya (Mohd Rashid Idris, 2011: 64).
¢ Hati budi
Hati budi pula bolehlah dikaitkan dengan istilah hati yang baik atau baik hati. Untuk melahirkan hati yang baik, seseorang itu perlu diasuh sejak kecil kerana kesucian hati akan menentukan perlakuan yang baik, tingkah laku yang bersopan dan akan dihindari daripada segala sifat-sifat yang negatif dan buruk.
¢ Budi bicara
Toleransi dan tolak ansur dalam setiap perbuatan. Hal ini demikian kerana, kehidupan bermasyarakat yang mementingkan nilai kerjasama bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan aman.
¢ Akal budi
Pertimbangan akal sangat diperlukan dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, melalui pertimbangan akal budi yang mementingkan kewarasan fikiran ini akan menentukan sikap seseorang itu sama ada mampu untuk bertanggungjawab dengan setiap perkara yang dilakukannya ataupun tidak. Kebiasaannya dalam masyarakat dahulu nilai ini sangat dipentingkan supaya seseorang individu itu mampu untuk mengurus diri, keluarga dan juga masyarakat.

Contoh :
1.   Hati budi (hati yang baik atau baik hati)
“Setelah sudah baginda merajakan anakanda baginda berapa bulan lamanya, maka dilihat akan anakanda baginda kerajaan terlalu baik budi afalnya, baginda lalu kembali keinderaan laki isteri.”
(Hikayat Hang Tuah, 1995 : 7)

Petikan di atas menggambarkan seorang raja yang mempunyai hati budi yang baik dan sememangnya sesuai ditabal menjadi seorang raja.

2.   Budi bahasa (pertuturan yang manis, sopan, positif, bijaksana, bernas dan penuh pengajaran, serta memberikan sumbangan kepada khalayak dan pendengarnya (Mohd Rashid Idris, 2011: 64)

“Daulat tuanku, patik sekalian ini hamba yang hina lagi daif hendak memohon ampun lagi kurnia ke bawah Duli Seri Maharaja. Jika ada kurnia akan patik sekalian ini memohonkan paduka anakanda seorang supaya patik sekalian mempertuankan juga.”
(Hikayat Hang Tuah, 1995 :17)

Petikan dia atas menunjukkan sifat budi bahasa, iaitu cara golongan diperintah berbicara dengan golongan pemerintah.




Khamis, 27 Mac 2014

FALSAFAH BERSUMBERKAN ISLAM


Falsafah karya agung terutamanya karya agung dunia Melayu turut diilhamkan oleh pengarangnya melalui agama Islam yang menjadi pegangan agama majoriti bangsa Melayu.

Hal ini dibuktikan melalui sebuah buku daripada Yayasan Karyawan (2000: 13) yang menyatakan tiga faktor utama terhasilnya karya agung Melayu iaitu;
    a) kekuatan bahasa Melayu
    b) pengaruh Islam
    c) peranan istana dan sekolah pondok

Hal ini membuktikan bahawa falsafah yang terdapat dalam karya agung terdapat juga yang bersumberkan Islam, iaitu memperlihatkan keislaman dalam penghasilan karya.

Setelah pengaruh agama Hindu menjadi pudar dalam diri masyarakat Melayu, munculnya Islam di dalam dunia Melayu.  Sekitar abad ke-12 dan ke-13, beberapa buah kerajaan Melayu-Islam telah ditubuhkan di Perlak (Pasai). Perkara ini menyebabkan berakhirnya pengaruh kerajaan Melayu-Srivijaya yang pada masa tersebut masih dalam kekuatan pengaruh Hindu.

Agama Islam seterusnya disebarkan secara meluas, bukan sahaja dalam kalangan alim ulama’ tetapi juga turut disebarkan kepada rakyat.  Pada ketika ini dikatakan masyarakat Melayu masih menggunakan bahasa lisan sehinggalah tiba suatu ketika apabila masyarakat Melayu sudah mula mempelajari abjad Arab untuk menulis bahasa Melayu.

Setelah bermulanya perkembangan tulisan ini, bermulanya suatu zaman baru dalam dunia Melayu, iaitu zaman perkembangan ilmu dan pemikiran yang didasarkan kepada ajaran agama, iaitu tauhid dan pandangan Islam sejagat.  Hal ini juga dapat dikaitkan dengan istana kerajaan Melayu-Islam pada zaman tersebut yang menjadi pendukung kepada kegiatan penulisan yang membentuk warisan bangsa.

Kitab al-Quran merupakan sumber utama kepada falsafah Islam kerana al-Quran adalah kitab petunjuk dan rahmat buat sekalian alam.  Mohd Rashid Md Idris ada menyatakan bahawa al-Quran itu adalah kitab yang Haq dari yang maha Haq, tiada keraguan, tiada kebengkokan, tiada kesilapan dan kesalahan, tiada percanggahan dan pertentangan, kitab yang terpelihara, kitab yang diberkati, kitab yang menjadi cahaya dan penghidup jiwa, kitab yang menjadi penjelas dan penerang, kitab yang menjadi penawar dan pengubat jiwa, dan kitab yang menjadi pemutus kata (2007: 53).

Contoh :

   “Adapun ilmu dan kepandaian itu menjadi tangga kepada pangkat kekayaan, dan kekayaan itu membawa kepada kebesaran. Maka bahawasanya segala benda yang dijadikan Allah dalam dunia itu masing-masing adalah dengan harganya, iaitu dapat dinilaikan oleh manusia melainkan ilmu itulah sahaja yang tiada ternilai oleh manusia akan harganya.”
                                                                                                                                   (Hikayat Abdullah, 2004: 19)

Petikan di atas menunjukkan ciri falsafah Islam apabila segala yang dinyatakan berbalik kembali kepada kepercayaan dan kepatuhan terhadap kata-kata Allah. Selain itu, menuntut ilmu juga adalah perkara yang sangat dituntut dalam Islam.

“Dalam berkata-kata dengan Kebiri itu, dengan takdir Allah Taala, maka angin pun bertiup terlalu keras. Maka tirai pedati Ken Sumirat pun
 tersingkap.”
                                                                                                                               (Hikayat Hang Tuah, 1995 : 50)

Petikan di atas dikaitkan dengan falsafah islam apabila pengarang mengaitkan segala yang berlaku di muka bumi ini adalah takdir atau ketentuan Allah Taala.

  “diperbuatkan hikayat [….] perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya, supaya didengar oleh anak cucu kita yang kemudian dari kita dan diketahuinyalah segala perkataan, syahadan beroleh faedahlah mereka itu daripadanya”
                                                     (Sulalat al-Salatin, edisi Karya Agung, 1993: 3)

Pengarang menunjukkan ketaatan dengan menjunjung perintah sultan yang membawa kepada keberlanjutan warisan sejarah bangsa kepada generasi terkemudian.

Hal ini dibuktikan melalui tulisan pengarang dalam kitab ini juga, iaitu;

“Maka fakir karanglah hikayat ini [….] dan fakir himpunkan daripada segala riwayat orang tuha-tuha dahulu kala supaya akan menyukakan duli hadhrat baginda”        
                                                     (Sulalat al-Salatin, edisi Karya Agung, 1993: 4)






Rabu, 26 Mac 2014

KAITAN ANTARA IDEALISME DAN FALSAFAH MELAYU


Kedua-dua elemen ini diadaptasikan oleh tokoh-tokoh sastera ke dalam karya mereka untuk memperjelaskan lagi tujuan dan idea yang ingin disampaikan dalam sesuatu karya agung itu. Hal ini demikian kerana, elemen-elemen tersebut amat sesuai dan bertepatan dengan kehendak pembaca.
Para pengkarya itu juga menerapkan kedua-dua elemen ini agar para pembaca dapat membuat penganalisisan tentang sesuatu karya tersebut dengan lebih mudah.  Jelaslah bahawa penerapan idelisme dan falsafah dalam sesuatu karya agung amat diperlukan dalam pengoperasian sesuatu karya agung.
Idealisme bersumberkan alam
Idealisme yang bersumberkan alam ini dapat dikategorikan kepada beberapa pecahan, misalnya berkaitan tumbuh-tumbuhan, haiwan, angkasa, sosialisasi dan sebagainya.
Kehidupan manusia tidak dapat lari daripada alam, malah banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan sebagai seorang manusia sering dikaitkan dan diumpamakan dengan alam ciptaan Tuhan, tidak kira dari segi tumbuhan, haiwan, angkasa, lautan mahupun hubungan antara masyarakat, iaitu sosialisasi.
Hal ini banyak diungkapkan dalam karya-karya agung Melayu klasik. Mortimer Jerome Adler menyatakan bahawa berdasarkan isu utama berkenaan tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia sebagai bentuk hidupan yang berkesinambungan atau jelas berbeza, maka kajian organisma haiwan – anatomi dan fisiologinya – memperoleh banyak kepentingannya (2007: 12). 
Bukan sahaja pada satu bahagian, malah pada ketika menulis manusia juga tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan alam.

Contoh :

1.     Api dan air

   “Bahawa demikianlah susahnya aku ini dipeliharakan oleh ibu bapaku: seperti meniup api dalam air, adanya.”
                                                                                                                                         (Hikayat Abdullah, 2004: 15)

Petikan ini menunjukkan terdapat penggunaan perumpamaan yang dikaitkan dengan kehidupan manusia melalui kepengarangan kisah hidup Abdullah yang ditulis oleh beliau sendiri.

2.     Kaitan antara manusia (sosiolisasi)

 “Maka sebab itulah kata arif: Apabila engkau dapat wang, belikan emas; maka jualkan pula emas itu, belikan pula intan; maka jualkan pula intan itu, belikan manikam; jualkan pula manikam itu, belikan ilmu. Maka demikianlah besar kemuliaannya itu serta dengan teguh setianya kepada orang yang mendapat dia itu.”
                                                                                                                           (Hikayat Abdullah, 2004: 20)

Abdullah Munsyi turut memasukkan kata-kata dari bijak pandai yang menunjukkan bahawa beliau mengambil tahu hal ini daripada orang yang lebih arif. Kebiasaannya juga, hal ini dikatakan oleh orang berilmu dan orang tua-tua kepada orang muda. Hal ini menunjukkan idealisme bersumberkan alam berkaitan hubungan sesama manusia dalam hidup bersosial.

3.     Haiwan

“Maka sembah mangkabumi, “Baiklah, tuanku.” Maka mangkabumi pun bermohonlah keluar akan berlengkap gajah kuda dan rakyat sekalian.”
                                                                                     (Hikayat Hang Tuah, 1995 : 3)

Petikan ini menunjukkan pengarang menggunakan unsur haiwan dalam kepengarangan untuk menggambarkan kepentingan haiwan dalam kehidupan manusia.

4.     Tumbuhan

“Maka dilihat oleh baginda ada sebuah kolam terlalu indah indah perbuatan, diikat dengan permata pancawarna, berkeliling kolam itu pelbagai bunga yang indah-indah dengan jambangannya.”
                                                                                     (Hikayat Hang Tuah, 1995 : 8)

Unsur tumbuhan, iaitu bunga digunakan dalam kepengarangan bagi melambangkan unsur alam yang berada di sekeliling manusia.

5.     Lautan  

“Maka Raja Suran fikir dalam hatinya, ‘Bahawa isi darat telah aku ketahuilah, dan segala isi laut bagaimana gerangan rupanya? Jika demikian, baik aku masuk ke dalam laut, supaya aku ketahui betapa halnya.’”
                                                                                        (Sulalat al-Salatin, 2003: 14)

Petikan ini menunjukkan bahawa penulis berasa perlu untuk memasukkan unsur alam dalam pengkaryaannya meskipun kadangkala dilihat hal itu tidaklah begitu penting.
Hal ini membuktikan bahawa kaitan antara manusia dan alam seperti lautan juga adalah sesuatu yang dianggap sebagai keperluan.


Video Alam Sekitar Malaysia