Isnin, 14 April 2014

MAKNA DALAMAN KARYA MELAYU KLASIK


Makna dalaman bermaksud makna yang disampaikan secara tersirat oleh pengarang untuk para pembaca yang membaca karyanya. Bergantung kepada tujuan seseorang pengarang itu memancarkan ideanya dalam sesuatu karya klasik tersebut.

Makna ini boleh meliputi aspek pemikiran pengarang, nilai yang dibawa oleh pengarang, serta cerminan kepada pegangan hidup dalam sesuatu masyarakat yang dipaparkan.

PEMIKIRAN PENGARANG

Pemikiran pengarang merupakan penampilan makna dalaman dalam  sesuatu karya klasik juga dapat dilihat daripada sikap pengarang yang menampilkan  pengembaraan watak yang baik dan mengandungi unsur-unsur pengajaran yang tinggi dalam sesebuah karya klasik.

Fungsi cerita-cerita tersebut pula bukanlah pula sekadar menggambarkan selok-belok nasib wataknya, tetapi menampilkan atau mewujudkan idea melalui imej-imej plastis, memenuhi segenap ‘ruang fikiran’ dengan idea tersebut yang disampaikan melaui imej. Idea sedemikian akan membentuk dan mendidik akal pembaca dan pendengar (V. I. Brinsky, 1994:59).

Contoh dalam Hikayat Hang Tuah:

Menurut pengarang Hikayat Hang Tuah, perpaduan antara raja dan hamba-hamba setianya yang tidak berpecah-pecah menjamin kejayaan Melaka dalam bidang politik dan mendatangkan kemakmuran kepadanya (V. I. Brinsky, 1994: 59).

Dalam aspek ini, pengarang ingin menegaskan kepada pembaca dasar kepada kestabilan politik sesebuah kerajaan tidak hanya terletak kepada kebijaksanaan seseorang pemerintah itu memerintah tetapi juga membabitkan kesediaan rakyat untuk bersama-sama dengan golongan pemerintah untuk mengekalkan kestabilan tersebut.

NILAI

Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2007), nilai ialah segala perbuatan, perlakuan atau tindakan yang bermutu, berdarjat, bertaraf atau elok yang harus dijadikan contoh dan teladan. Nilai yang dipaparkan dalam karya klasik adalah makna dalaman yang ingin ditampilkan oleh pengarang.

Nilai yang tidak lupa untuk dipaparkan oleh tokoh pengarang adalah nilai budaya Melayu.Nilai-nilai budaya tidak sekadar memaparkan peristiwa sebagai bahan sejarah, soal masyarakat dan kemanusiaan tetapi juga nilai budaya yang dapat menyingkap perihal batin, mata hati, budi dan akal (Siti Zainon Ismail, 1996: 225).

Contoh:

     Setelah hari malam maka burung bayan itu pun dilepaskan baginda tuan puteri seraya bertitah, “Pergilah engkau liaht Raja Bikrama Indera itu apa-apa perbuatannya dan kata-katanya. Segeralah engkau datang beritahu kepada aku.” syahadan burung bayan itu pun terbanglah ia pergi ke istana Maharaja Digar Alam.
                                                  (Dipetik daripada Hikayat Nakhoda Muda: 27)

SPIRITUAL

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, spiritual bermaksud hal yang berkaitan dengan atau bersifat rohani atau jiwa (bukan sifat fizikal), rohaniah.Rohani adalah jiwa manusia yang tersirat dan sukar untuk ditafsirkan dengan mata kasar.

Contohnya dalam Hikayat Nakhoda, dimana spiritual yang jelas dilihat dalam diri Nakhoda Muda (Tuan Puteri Rakna Kemala). Tuan puteri kemala telah menggunakan akalnya dengan menyuruh orang suruhan mengisi sebahagian kapalnya dengan tanah di Pulau Rumbnia sebanyak mungkin dengan buah rumbnia ke dalam kapal untuk ditunjukkan kepada negeri yang bakal mereka singgah nanti.

Contoh:

     “ Sebab buah rumbnia inilah gerangan maka saudaraku tiada kembali lagi.”maka air mata tuan puteri itu pun bercucuranlah tiada terasa lagi cucur sebab terkenangkan saudara baginda itu, “ Kosongkan suatu petak dan muatkan olehmu tanah pulau ini.”
(Dipetik daripada Hikayat Nakhoda Muda: 14)

RUJUKAN

  1. Harun Jaafar, (2002). Wacana Kesusasteraan Melayu Klasik. Perak: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
  2. Kassim Ahmad, (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  3. Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, (2005). Stilistik Komsas. Perak: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
  4. V.I.Braginsky, (1994). Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  5. Wahyunah Abd. Gani, (2004). Hikayat Nakhoda Muda. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  6. http://karyaagungmelayu 2013.blogspot.com/2013/04/estetik-dalam karya-agung.html.
     karya-agung.html














Tiada ulasan:

Catat Ulasan